Categories
NASIONAL

Isu Laut China Selatan: Malaysia gesa COC berkesan

SHAH ALAM, 13 JUL: Malaysia komited dan meminta semua pihak memastikan pelaksanaan berkesan terhadap Deklarasi Tatalaku (DOC) Pihak-pihak di Laut China Selatan secara keseluruhannya, serta kesimpulan awal mengenai Kod Tatalaku (COC) seperti yang dipersetujui antara China dan negara ASEAN.

Wisma Putra dalam kenyataannya, berkata Malaysia percaya semua pihak berkaitan mampu menyelesaikan pertikaian secara aman dengan menghormati sepenuhnya proses diplomatik dan perundangan serta undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) 1982.

LAUT CHINA SELATAN - 1“Malaysia percaya ia adalah penting untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan menerusi kawalan diri daripada menjalankan aktiviti yang mampu menambahkan kesulitan atau meningkatkan ketegangan, serta mengelakkan ancaman atau menggunakan kekerasan di Laut China Selatan,” lapor BERNAMA.

Kenyataan itu menambah bahawa Malaysia juga sedar Tribunal Timbang Tara di bawah Lampiran VII UNCLOS 1982 telah membuat keputusannya semalam.

Malaysia mahukan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dan percaya China dan semua pihak berkaitan boleh mencari cara terbaik mengadakan sesi dialog sihat dan rundingan sambil menegakkan kedaulatan undang-undang untuk keamanan dan keselamatan di rantau ini.

Dalam keputusan bersejarah, Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague semalam membuat keputusan yang tidak memihak kepada China dalam pertikaian maritimnya dengan Filipina.

Ia memutuskan China tiada hak mengikut sejarah ke atas perairan yang kaya dengan sumber di Laut China Selatan itu serta mendapati China juga tiada alasan mengikut undang-undang untuk menuntut hak ke atas sumber di sana atas alasan ia berada dalam garisan ‘nine-dash’.

China yang tidak mengambil bahagian atau mengiktiraf perbicaraan itu sejak ia bermula tahun lepas, menganggap keputusan itu sebagai ‘satu pihak’ sahaja.

Berikutan keputusan itu, China dalam kenyataannya berkata, ia tidak menerima atau mengiktiraf keputusan tribunal berkenaan yang diadakan atas permintaan Filipina.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.