Categories
SELANGOR

Kisah Malcolm X tunai haji untuk renungan bakal jemaah haji

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 31 JULAI: Seramai 268 bakal jemaah haji di kawasan Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa menerima sumbangan Kerajaan Negeri.

Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakal Jemaah Haji 1437H Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati di sini hari ini.

Sebelum itu, Mohamed Azmin dalam ucapannya sempat berkongsikan kisah seorang pejuang berbangsa Afro-Amerika di Amerika Syarikat, Malcolm X ketika menunaikan ibadah haji suatu masa dahulu.

“Kata beliau (dalam surat yang ditulis di Mekah) di sini terdapat puluhan ribu manusia menunaikan haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia, kulit mereka dari semua warna, dari yang bermata biru berambut perang kepada orang Afrika yang berkulit hitam.

Haji“Mereka semua melakukan ibadah yang sama, menzahirkan semangat perpaduan dan persaudaraan di mana pengalaman saya di Amerika menyebabkan saya berpendirian tidak boleh berlaku antara kulit putih dan kulit hitam.

“Belum pernah saya lihat persaudaraan yang jujur dan sebenar yang diamalkan oleh semua manusia dari semua warna kulit,” katanya.

Jelas Mohamed Azmin, keadaan di Mekah itu amat mengejutkan Malcolm X.

Katanya, selain semangat persaudaraan sesama Islam, jemaah haji turut mengenakan pakaian yang sama iaitu ihram berwarna putih dan tidak berjahit tanpa mengira darjat seseorang.

“Pakaian ihram berwarna putih dan tidak berjahit merupakan lambang kesucian dan kesatuan umat Islam yang bersedia menegakkan syiar Islam,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.