Categories
SELANGOR

Wau Kapal mampu buka peluang ekonomi anak muda

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LANGAT, 31 JULAI: Pertandingan Wau Kapal Terbuka Selangor 2016 anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) berlangsung meriah dengan penyertaan 400 pemain Wau Kapal dari seluruh Malaysia.

Penganjuran pertama kali ini mempertandingkan dua kategori utama, Wau Kapal Moden dan Wau Kapal Tradisi selain memperkenalkan satu kategori baru, Pakaian Tradisional Tercantik bagi peserta bertanding.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi , Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Wau Kapal merupakan antara identiti kesenian Negeri Selangor yang perlu dikekalkan.

“Kita menganjurkan pertandingan ini dengan harapan supaya identiti (wau kapal) disebar luas sebagai promosi kepada rakyat Selangor.

IMG_1531“Kalau Kelantan ada Wau Bulan, kita (Selangor) ada Wau Kapal.

“Promosi dibuat kepada anak muda kerana kita mahu identiti Wau Kapal ini kekal seperti kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas,” katanya.

Ahmad Yunus yang juga Pengerusi PADAT berkata, Wau Kapal ini mampu menjana ekonomi anak muda memandangkan seni pembuatannya mempunyai keunikan tersendiri.

Justeru, beliau mengharapkan anak muda mengambil peluang mengembangkan lagi kemahiran dan bakat mencipta Wau Kapal untuk dipasarkan.

“Apabila sudah ditetapkan sebagai identiti Selangor, Wau Kapal ini boleh dijadikan sebagai cenderahati untuk dijual bagi menambahkan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan seperti ini akan mula dipromosikan ke setiap daerah menerusi Karnival Kampungku Kesayanganku (3K).

JOHAN WAUPertandingan yang bermula sejak awal pagi Padang Awam Batu 7, Kampung Sijangkang, Kuala Langat menyaksikan pelayang dari Tanjung Sepat, Mohd Faizal Jarudi membawa pulang hadiah berjumlah RM1,000 selaku Juara Kategori Wau Kapal Moden di Udara.

Beliau mengenepikan cabaran sengit dari dua peserta lain, Mohd Zulkeffli Supian dan Mispan dalam perlawanan akhir.

Mohd Faizal yang lebih dikenali sebagai Ejal mengakui tuah memihak kepadanya untuk bergelar juara meskipun berlaku sedikit kontroversi di penghujung saingan.

“Alhamdulillah segalanya selesai selepas perbincangan tambahan pula kita bersaing antara kawan-kawan.

“Mungkin ini rezeki saya untuk menang yang ditentukan Allah SWT,” katanya yang sudah lebih 10 tahun bermain Wau Kapal.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.