Categories
NASIONAL

Polis saman 2,511 pengguna jalan raya

SHAH ALAM, 12 JUL : Sekurang-kurangnya 2,511 pengguna jalan raya di tiga negeri membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor disaman atas pelbagai kesalahan dalam operasi dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Aidilfitri.

Komander Subtek Ops Selamat Zon Selatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Supt Gan Chip Poh, berkata saman berkenaan dikeluarkan serta-merta kepada pesalah lalu lintas dalam rondaan selama 24 jam dalam operasi berlangsung selama 13 hari bermula 29 Jun lepas.

Beliau yang juga Pegawai Turus Penyelidik Kaji Dasar Trafik JSPT Bukit Aman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,016 saman dikeluarkan di Negeri Sembilan, Johor (942) dan Melaka (553).

“Sebanyak 76 saman melibatkan kesalahan menggunakan lorong kecemasan, 31 daripadanya di Johor, Negeri Sembilan (30) dan Melaka (15),” lapor Bernama.

OPS AIDILFITRITurut hadir DSP Operasi Kontinjen JSPT Bukit Aman DSP Bakri Zainal Abidin.

Mengulas lanjut, Gan berkata, sebanyak 50 kes kemalangan maut dicatatkan dengan jumlah kematian seramai 60 orang sepanjang tempoh berkenaan, satu penurunan dari sebanyak 28 kes kemalangan maut dan 20 kematian dalam Ops Selamat sempena Aidilfitri tahun lalu.

“Kita menjalankan rondaan penguatkuasaan ini melibatkan kenderaan dan 12 motosikal di ketiga-tiga negeri ini sehingga tamat Ops ini Rabu ini,” katanya.

Sementara itu, Bakri berkata sebanyak 5,000 Mobilecops digunakan anggota trafik di seluruh negara bagi merekodkan kesalahan pesalah lalu lintas serta mengesan mereka yang terlibat dalam pelbagai kesalahan terutama warga asing.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.