Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Motosikal kuasa elektrik realisasi teknologi hijau Petaling Jaya

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 27 JULAI: Selaras dengan bandaraya mampan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengorak langkah ke arah merealisasikan penggunaan teknologi hijau dengan memperuntukkan lima unit motosikal berkuasa elektrik kepada ‘Pj City Skuad’.

Datuk Bandarnya, Mohd Azizi Mohd Zin, berkata motosikal berkuasa elektrik yang mampu mencecah kelajuan sehingga 100km itu akan digunakan bagi tujuan kawalan lalu lintas di beberapa kawasan pentadbiran MBPJ.

Katanya, antara kegunaan lain adalah penguatkuasaan akan menjalankan rondaan, membuat kawalan dan bantuan awal jika berlaku kemalangan atau kerosakan kenderaan di jalan.

_DSC2606“Selain itu, melaksanakan tugasan ‘multitasking’ seperti pemantauan iklan tanpa kebenaran, melaporkan aduan kerosakan jalan dan membantu polis dengan melaporkan kejadian jenayah, kecurian atau ragut,” katanya, di sini, hari ini.

Azizi berkata, kawasan yang akan diberikan tumpuan ialah Pusat Bandar Seksyen 52, Jalan Templer, Jalan Gasing, Jalan Selangor, Jalan Persiaran Timur, Jalan Persiaran Barat dan Seksyen 8.

Katanya, MBPJ akan menambah 20 unit motosikal elektrik terbabit bermula tahun depan.

“Tahun ini, kita menggunapakai peruntukan sedia ada untuk membeli lima unit motosikal dengan RM18,000 seunit dan tahun depan 20 unit lagi akan dibeli MBPJ,” katanya.

Beliau berkata, perlaksanaan inisiatif itu sangat tepat melalui aplikasi sains alam sekitar yang amat diperlukan pada masa kini bagi menangani isu fenomena global.

“Oleh itu, penggunaan teknologi hijau iaitu teknologi rendah karbon yang lebih mesra diperlukan bagi memelihara dan memulihara alam sekitar,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.