Categories
SELANGOR

Piala Foo Kok Keong dapat sambutan, pentas pemain veteran kembali aktif

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 JULAI: Lagenda badminton negara, Foo Kok Keong, terharu dengan sambutan hebat diterima Kejohanan Badminton Jemputan Antarabangsa Piala Foo Kok Keong 2016 pada tahun ini.

Kejohanan kali kelima membabitkan kalangan pemain veteran itu menyaksikan penyertaan pasukan baru dari Hong Kong dan Australia dalam pertandingan 12 pasukan di Kelab Shah Alam Selangor, di sini, mulai 15 hingga 17 Julai lalu.

piala foo kok keong 2Beliau berkata, setiap tahun penganjur berusaha memenuhi permintaan pasukan yang berminat turut serta dalam kejohanan itu namun setakat ini penyertaan hanya terhad kepada 12 pasukan.

“Kita berbangga dengan minat ditunjukkan pasukan menyertainya terutama dari luar negara yang menganggap kejohanan ini menghadirkan satu cabaran berbeza kepada mereka pemain veteran.

“Tidak mudah menganjurkan kejohanan sebegini dan kita mendapat banyak komen berguna daripada pasukan yang menyertainya, dengan ini kita berusaha menjadikan ia kejohanan lebih baik setiap tahun,” katanya kepada SelangorKini dalam Majlis Penutup dan Pemnyampaian Hadiah kejohanan di sini, malam tadi.

Hadiah disampaikan Exco Generasi Muda, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari kepada pasukan juara, Musica Flypower dari Indonesia.

Manakala tempat kedua dimenangi Suanium Ruammitr (Thailand) dan ketiga, KSAS Alpha (Malaysia).

Kok Keong berperanan sebagai salah seorang pengerusi kejohanan, turut serta bersama pasukan KSAS Alpha meramalkan pertandingan pada tahun depan akan berlangsung lebih sengit dengan pasukan bertanding membuat persiapan rapi untuk muncul pemenang.

Katanya, ramai pemain veteran gembira dapat turut serta kerana kejohanan itu menjadi pentas bagi mereka kembali bergiat aktif dalam sukan badminton selepas bersara.

“Setiap tahun kita mendapat banyak permohonan untuk terbabit dalam kejohanan dan ada pasukan baru turut serta malah pada tahun depan kita harap mendapat penyertaan pasukan dari Eropah seperti Denmark dan Jerman.

“Perkembangan ini sangat baik bagi pertandingan ini,” katanya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang banyak membantu dalam menjayakan kejohanan berkenaan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.