Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

100 ekar disedia Tanah Perkuburan Wilayah Bersepadu mampu milik

SHAH ALAM 10 OGOS: Selangor bakal menyediakan Tanah Perkuburan Wilayah Bersepadu mampu milik bagi menyelesaikan masalah kekurangan tanah di kawasan dengan kepadatan pembangunan tinggi.

Antara kawasan kepadatan pembangunan tinggi dan berhadapan masalah kekurangan tanah perkuburan adalah Petaling Jaya, Subang Jaya dan Ampang Jaya.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Akhbar Menteri Besar, Yin Shao Loong, berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor hari ini memutuskan akan memperuntukkan 100 ekar tanah dalam daerah Sepang untuk tujuan ini.

“Perkara ini dibincangkan dengan pelbagai pihak sejak tahun 2010 lagi.

“Kerajaan Selangor mendapati bahawa kekurangan tanah dan penswastaan tanah perkuburan merupakan trend terkini yang membebankan keluarga berpendapatan sederhana dan miskin,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata atas prinsip peduli rakyat, Menteri Besar Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali memutuskan Kerajaan Negeri perlu menyelesaikan masalah ini.

Azmin-RakyatKatanya, Mohamed Azmin menggesa agar penyelesaian tersebut mengambil kira kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, termasuklah golongan berpendapatan rendah agar mereka tidak terbeban dengan kos tanah kubur yang tinggi ketika dalam kesedihan.

“Majlis Perbandaran Sepang bertindak sebagai pengurus dalam mengawal selia pelaksanaan ini. Mereka akan memberikan perincian lanjut tentangnya di peringkat kebenaran merancang kelak,” katanya.

Tanah Perkuburan Wilayah Bersepadu yang menggabungkan aspek Perkuburan Wilayah dan Perkuburan Bersepadu ini dilengkapi kemudahan seperti pejabat pentadbiran, surau, tandas awam, laluan akses dan pejalan kaki, tempat meletak kenderaan, kemudahan lawatan, depot penyelanggaraan dan zon penampan yang bersesuaian.

Perkuburan Wilayah merujuk kepada pembangunan tanah perkuburan di suatu kawasan yang boleh menampung keperluan tanah perkuburan bagi kawasan beberapa PBT yang berjiran dan terletak berhampiran (maksimum 45 minit perjalanan).

Perkuburan Bersepadu Pembangunan adalah tanah perkuburan yang menempatkan perkuburan Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain agama serta kemudahan krematorium dan kolumbarium di dalam satu kawasan dibangunkan secara bersepadu dan terancang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.