Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

3 hari menjelang perhimpunan aman #TangkapMO1, rakyat sudah bersedia

OLEH ANIS SYAFIQAH
Tiga hari menjelang himpunan #TangkapMO1 pada 27 ogos ini, mahasiswa dan anak muda telah melengkapkan 100% persiapan yang diperlukan.

Walaupun wujud usaha untuk melemahkan semangat orang ramai seperti penahanan tiga mahasiswa di Seri Iskandar Perak baru-baru ini, kami percaya masyarakat di luar sana tetap bersemangat untuk menyertai himpunan ini.

Tekad ke Dataran Merdeka.

Suka untuk kami tegaskan bahawa Gabungan TangkapMO1 tekad untuk meneruskan perhimpunan di Dataran Merdeka walaupun tidak mendapat respon yang menggalakkan daripada Ketua Polis Negara dan juga DBKL.

Kami tidak mempertimbangkan sebarang lokasi lain yang dicadangkan seperti Padang Merbok kerana bagi kami hanya Dataran Merdeka signifikan untuk menjadi simbol kekuatan rakyat.

Malah rakyat sudah berulang kali membuktikan kematangan dalam mengamalkan hak berhimpun secara aman. Oleh itu kami tidak melihat wujud sebarang faktor atau alasan dalam membataskan hak rakyat untuk berhimpun.

Laluan kekal, berkumpul di dua lokasi awal jam 2 petang

Seperti mana yang telah diumumkan sebelum ini, himpunan akan bermula jam 2 petang di dua lokasi perkumpulan awal iaitu perkarangan pusat membeli belah Sogo dan juga Masjid Negara.

Dataran MerdekaDaripada dua lokasi ini orang ramai akan bergerak menuju Dataran Merdeka dengan kawalan petugas keselamatan. Orang ramai juga digalakkan untuk berada awal di dua lokasi perkumpulan ini bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar.
 

 

200 kekuatan petugas keselamatan

Komitmen daripada ARIF, Skuad AMK dan UTK DAPSY menjadikan keseluruhan tenaga keselamatan adalah seramai 200 orang. 200 tenaga ini akan berada di Sogo dan Masjid Negara kemudian akan mengiringi peserta ke Dataran Merdeka.

Orang ramai diminta untuk sentiasa mematuhi arahan petugas keselamatan ini bagi memastikan himpunan berjalan dengan teratur.

Sekiranya berlaku kecemasan atau sebarang perkara yang memerlukan perhatian penganjur, orang ramai boleh untuk berhubung dengan petugas keselamatan.

SUHAKAM, BAR COUNCIL dan SUARAM

Gabungan TangkapMO1 juga telah mendapat persetujuan SUHAKAM dan Majlis Peguam Malaysia untuk memantau perhimpunan. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan para peguam sukarelawan juga akan bersedia memberi bantuan perundangan sekiranya berlaku sebarang tindakan daripada pihak Polis.

Untuk itu, peserta himpunan yang melihat atau berdepan dengan tangkapan pihak Polis diminta untuk menghubungi petugas Urgent Arrest SUARAM di talian 012 256 6089.

Perubatan dan Kecemasan

Skuad Medik yang berpengalaman mengendalikan himpunan-himpunan mega seperti BERSIH 4.0 juga akan bertugas bagi menyediakan bantuan perubatan dan kecemasan kepada peserta himpunan.

Orang ramai yang mengalami masalah kesihatan semasa perhimpunan boleh menghubungi mana-mana petugas keselamatan untuk mendapat perhatian segera daripada Skuad Medik.

Kekal dalam kumpulan, hindarkan provokasi

Orang awam yang menyertai himpunan aman ini diminta untuk sentiasa berada dalam kumpulan dan mematuhi arahan petugas keselamatan.

Peserta juga dinasihatkan untuk menjauhkan diri jika wujud sebarang provokasi yang dilakukan mana-mana individu atau kumpulan. Laporkan kepada petugas keselamatan sekiranya anda mengesan sebarang provokasi atau tindakan yang mencurigakan.

Semoga berjaya rakan-rakan di Kota Kinabalu

Gabungan TangkapMO1 juga ingin menyampaikan salam solidariti kepada teman-teman mahasiswa dan anak muda yang menganjurkan himpunan TangkapMO1 di Kota Kinabalu pada tarikh dan waktu yang sama.

Walaupun mengalami sedikit kesukaran apabila pihak Polis dilaporkan telah menolak Notis perhimpunan daripada penganjur, kami percaya perhimpunan di sana akan tetap berjalan dengan lancar dan aman dengan sokongan rakyat Sabah.

Ayuh Rakyat Malaysia, Kita TangkapMO1 di Dataran Merdeka

Akhir sekali, kami percaya segala persediaan menuju perhimpunan telah kami siapkan. Oleh itu kami menyeru seluruh masyarakat Malaysia, tanpa mengira sempadan bangsa, agama dan ideologi untuk turun beramai-beramai ke himpunan TangkapMO1 pada 27 Ogos ini tanpa rasa takut dan bimbang.

Kami juga yakin pihak Polis akan memberi kerjasama penuh untuk memastikan perhimpunan berjalan dengan terkawal seperti yang dilakukan dalam himpunan-himpunan sebelum ini.

Kepada Malaysian Official 1, percayalah anda tidak akan dapat lari daripada kuasa rakyat. Di mana pun anda berselindung, kuasa rakyat akan menangkap dan mengheret anda ke muka pengadilan.

* Anis Syafiqah adalah Jurucakap Gabungan TangkapMO1

Leave a Reply

Your email address will not be published.