Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

AMK kritik pengasingan filem tempatan ikut bahasa

OLEH : Jestin Raj Savarimuthu

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia mengkritik tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) & Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang terlibat di dalam pencalonan Festival Filem Malaysia (FFM) 2016 di mana terdapat usaha atau cadangan untuk mengasingkan Anugerah Filem Terbaik kepada dua kategori iaitu Filem Dalam Bahasa Malaysia dan Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia.

Ini menyebabkan filem seperti ‘Ola Bola’ dan ‘Jagat’ telah hilang kelayakan untuk dicalonkan dalam kategori Anugerah Filem Terbaik kerana skrip mereka adalah dalam bahasa campuran.

Cadangan mengasingkan kategori filem ini adalah seperti agenda perkauman yang cuba memecah-belahkan kaum kaum di Malaysia dan tindakan mengasingkan filem ini adalah satu tindakan yang bersifat rasisma seperti berlaku ketika zaman kegelapan kaum di Amerika Syarikat dan Afrika Selatan.

Pelbagai pihak telah luahkan rasa tidak berpuas hati dengan kategori berkenaan. Filem ‘Ola Bola’ yang diilhamkan oleh pasukan Bolasepak Malaysia yang diwakili pemain-pemain dari berbilang kaum dimana pasukan tersebut layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, manakala filem ‘Jagat’ pula menggambarkan keadaan sosio-ekonomi yang teruk dialami oleh masyarakat India di Malaysia.

Kedua-dua filem ini menjadi begitu popular dimana pelbagai lapisan masyarakat menonton filem-filem berkenaan dan ianya memberi nafas baru kepada rakyat Malaysia untuk kekalkan semangat rakyat Malaysia.

PFM & FINAS seperti Kerajaan Apartheid di Afrika Selatan suatu ketika dahulu kerana mengasingkan filem-filem yang secara dasar dan realitinya mencerminkan Malaysia.

Festival Filem Malaysia boleh mengambil contoh dari Anugerah Filem Nasional di India. Dalam pencalonan Anugerah Filem Terbaik India 16 jenis bahasa filem dipertandingkan bagi satu Anugerah Filem Terbaik India.

Walaupun pelbagai jenis Bahasa yang berbeza di India namun semua mengambil bahagian dalam pertandingan yang sama.

Angkatan Muda Keadilan mengkritik keras tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang dilihat cuba menyalakan sentimen perkauman tanpa mengambil kira akibat yang akan berlaku.

Tindakan pencalonan ini seolah merendahkan kaum-kaum yang lain dan tidak menghormati sensiviti kaum di Malaysia ini.

Filem Malaysia tidak bermakna harus dalam Bahasa Malaysia sahaja tetapi yang paling penting, ia mencerminkan Malaysia itu sendiri.

* Jestin Raj Savarimuthu adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published.