Categories
NASIONAL

Ancaman bom KLIA2: Penumpang diarah keluar pesawat

PUTRAJAYA, 3 OGOS: Ancaman bom di dalam sebuah pesawat AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, memaksa semua penumpangnya dikeluarkan dari pesawat.

AirAsia dalam kenyataan hari ini mengesahkan pesawat Penerbangan AK423 yang dijadualkan dari Kuala Lumpur ke Banda Acheh, Indonesia pagi ini, ditangguhkan penerbangannya untuk pemeriksaan keselamatan berikutan ancaman bom yang ditimbulkan oleh penumpang pesawat itu.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, carian bom itu dijalankan pihak berkuasa dan situasi berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard apabila berdepan dengan keadaan seperti itu,” menurut kenyataan tersebut.

AirAsia berkata pesawat itu diisytiharkan selamat oleh pihak berkuasa.

“Semua penumpang yang menaiki pesawat itu, dikeluarkan dengan selamat,” kata syarikat penerbangan itu dan menambah penumpang yang menimbulkan gangguan itu ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

AirAsia berkata mereka akan membantu penumpang yang terjejas dengan sewajarnya.

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan berkata mereka dimaklumkan oleh syarikat penerbangan itu mengenai ancaman bom di dalam pesawat di klia2.

MAHB berkata mereka kini bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan itu dan semua pihak berkuasa yang berkaitan.

Ia berkata keadaan itu dikendalikan mengikut prosedur operasi standard ketika berdepan dengan situasi berkenaan.

“Setakat ini ia tidak menjejaskan operasi penerbangan bagi pesawat lain,” kata MAHB.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.