Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Di sini lahirnya Da’i, Ulama dan Umara

OLEH NAEEM RAFFI

Sejajar dengan iltizam menjunjung tradisi kecemerlangan ilmu dan mendokong agenda pendidikan Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) komited mencapai gagasan sebuah Universiti lengkap dengan program pengajian akademik berteraskan tauhid bersesuai keperluan fizikal dan zaman.

Timbalan Pendaftar KUIS, Halim Mohtar, berkata misi besar KUIS itu didokong saf pensyarah dan warga kerja berjiwa mudarris, mu`allim, muaddib dan murabbi yang mengutamakan konsep penguasaan ilmu sebagai prinsip asas di dalam pendidikannya.

“KUIS tetap mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional Islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangunkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan Islam.

“Selain itu, KUIS juga berperanan menyediakan alternatif melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk pelajar lulusan SPM, STAM, STPM dan Diploma,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

KUISKUIS kini mempunyai 9,350 mahasiswa merentasi pelbagai disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, perniagaan, perbankan Islam, pendidikan, komunikasi, dan teknologi maklumat yang berdaya saing menyelusuri dunia globalisasi.

Sebanyak 51 program pengajian ditawarkan di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah yang telah memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Dengan kemudahan pengajiannya kondusif, KUIS turut mengutamakan program pembangunan sahsiah holistik, prinsip persekitaran (bi’ah) solehah, dan program khidmat ummah ke arah melahirkan warga KUIS berakhlak terpuji demi pembentukan negara Baldatun Tayyibatul Wa Rabbul Ghaffor.

“KUIS secara tuntas meletakkan mahasiswa sebagai ‘agent of change’ menjadi aset negara amat berharga dan pelapis generasi pemimpin pada masa hadapan.

“Justeru mahasiswa dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran ke arah pembentukkan mahasiswa yang dinamik, berdaya saing dan berjiwa besar,” katanya.

Pada 13 Ogos ini, KUIS akan meraikan Da’i, Ulama dan Umara kelahirannya dalam Majlis Konvokesyen KUIS ke-19 dengan seramai 1,006 graduan akan menerima Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

Kini, KUIS telah melahirkan seramai 15179 Alumni yang telah berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara di peringkat nasional dan antarabangsa.

Untuk informasi terkini sila layari KUIS www.kuis.edu.my atau 03 89117000

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.