Categories
SELANGOR SUKANKINI

Gunalan: Selangor perlu terus meningkat, catat kemenangan

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 21 OGOS: Selangor perlu terus meningkat dalam permainan bagi menghadapi baki perlawanan Liga Super dan suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Pengendali Selangor, K Gunalan, berkata pasukannya harus banyak mencipta ruang dan lebih menyerang ke kubu lawan untuk mendapatkan gol bagi meraih kemenangan.

“Saya kira kita kena banyak melakukan serangan berbanding bertahan.

“Selangor kena bermain seperti mana separuh masa kedua (menentang Kuala Lumpur malam tadi) hingga berjaya menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di sini, malam tadi.

Selangor dan Kuala Lumpur seri 1 – 1 dalam aksi Kumpulan B Piala Malaysia dengan juara bertahan itu menduduki tangga teratas dengan 11 mata dan layak ke suku akhir lebih awal.

IMG_20160820_222015_858The Red Giants memperoleh gol daripada Ahamd Hazwan Bakri (m68) manakala gol Kuala Lumpur dijaringkan Fahrul Razi Kamaruddin (m42).

Gunalan menjelaskan Selangor dihukum Kuala Lumpur apabila banyak memberi ruang kepada lawan pada separuh masa pertama.

“Bagaimanapun saya berpuas hati dengan persembahan pemain apabila saya menurunkan pemain baru dari Piala Presiden dan ia baik bagi Selangor.

“Dengan jadual padat dihadapi, kita perlukan pemain sebegitu dan merehatkan beberapa pemain utama,” katanya yang menurunkan pemain import, Andik Vermanshah, pada separuh masa kedua dan membentuk gandingan berkesan bersama Ahmad Hazwan di bahagian serangan.

Gunalan menjelaskan Selangor perlu fokus terhadap perlawanan liga menentang Sarawak, Rabu ini dan beliau dijangka kembali menyenaraikan penyerang utama, Patricik Ronaldinho Wleh.

“Dia akan kembali (diturunkan) dan juga Ugo Ukah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Ismail Zakaria berpuas hati dengan persembahan pemainnya yang mempamerkan permainan membanggakan biarpun ia tidak membawa makna kepada pasukan itu.

“Bagi saya yang penting pemain mempertahankan maruah, mereka nampaknya begitu bersemangat dengan bermain bersungguh-sungguh.

“Keduanya, dengan musim liga kini sudah hampir ke penghujung, pemain berusaha membuktikan sesuatu kepada saya supaya dapat kekal dalam pasukan untuk musim depan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.