Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Henti kerja EKVE pastikan keselamatan penduduk terjamin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 30 OGOS : Kerajaan Negeri memandang serius berhubung insiden runtuhan tembok longkang di Taska Q-Dees, Taman Kelab Ukay Gombak, 22 Ogos lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata notis berhenti kerja diberikan kepada kontraktor susulan kegagalan penyelenggaraan di kawasan pembinaan itu.

“Kerajaan Negeri mengarahkan kerja pelebaran Sungai Klang diberhentikan serta merta.

“Fokus kepada kerja pengukuhan tebing dan penyelenggaraan runtuhan tembok perlu dijalankan serta memastikan pergerakan tanah yang berlaku di Taska Q-dees dapat diatasi,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, pergerakan tanah berlaku di kawasan berkenaan disebabkan Projek East Klang Valley Expressway (EKVE) melibatkan kerja pelebaran Sungai Klang.

889b2bb0-6f87-4c93-b188-2450264908efZaidy berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati kontraktor EKVE sedang giat melaksanakan kerja pengukuhan tebing termasuk sebanyak 50 dari 150 cerucuk keping “Sheet Piles” telahpun dipasang.

“Kerja pelebaran sungai mengakibatkan kerosakan struktur tembok longkang merupakan persempadanan diantara Taska Q-dees dengan rizab sungai (kawasan tapak kerja),” kata Zaidy.

Sementara itu laporan MPAJ mendapati, kejadian runtuhan tembok longkang berlaku disebabkan kegagalan EKVE menahan tanah semasa kerja pengorekan bagi tujuan kerja pemasangan L-shape di Sungai Klang.

Komited memastikan keselamatan penduduk setempat terjamin, Zaidy berkata, jawatankuasa khas juga ditubuhkan bagi memastikan kontraktor mematuhi syarat ditetapkan.

“Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pemantau Pembinaan Lebuh Raya sentiasa memantau secara dekat semua kerja pembinaan lebuh raya di Selangor agar pemaju mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

EZY