Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tekanan air rendah di Rasa perlu tindakan segera

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 30 OGOS: Masalah tekanan air rendah di Rasa, Kuala Kubu Bharu yang berlarutan sejak sekian lama mendapat perhatian serius Ahli Dewan Negeri (ADN), Lee Kee Hiong.

Katanya, tekanan air rendah juga menjadi penyebab satu kejadian kebakaran membabitkan dua rumah di Pekan Rasa gagal diselamatkan bomba, pada 22 Ogos lalu.

Kee Hiong menggesa Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) melakukan kerja penggantian paip baru dalam kadar segera ekoran yang sedia ada terlalu uzur dan mudah pecah.

lee kee hiong“Saya pernah menulis surat kepada Dato’ Menteri Besar mengenai gangguan bekalan air tidak berjadual akibat paip pecah dan memohon penggantian paip penghubung sepanjang 11.39 kilometer itu kepada paip jenis HDPE (saiz 160mm), pada 16 Februari lalu.

“Surat itu sudah dipanjangkan kepada SYABAS dan sehingga kini tiada sebarang kerja penggantian dilakukan,” katanya.

Katanya, masalah tekanan air rendah bukan sahaja mengganggu rutin kehidupan penduduk, malahan menjejaskan operasi sekolah.

Beliau berkata, SJKC Rasa tidak dapat memindahkan murid ke bangunan baru sebaliknya terpaksa menggunakan blok lama yang kian uzur dan diancam anai-anai.

“Pengurusan SJKC Rasa sedang mencari penyelesaian menyambung paip penghubung sendiri bagi mendapatkan bekalan air memandangkan bangunan baru itu siap sepenuhnya lebih setahun.

“Saya berharap perkara ini diatasi segera dalam memastikan keselesaan penduduk, melancarkan semua operasi dan persediaan sekirannya berlaku kebakaran,” katanya.

-NFN-