Categories
SELANGOR

HORAS 600 bantu tambah bekalan air musim panas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 OGOS: Paras Empangan Sungai Tinggi dan Empangan Sungai Selangor berada di kedudukan terkawal dan tidak terjejas walaupun musim panas melanda tahun ini.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata hal itu ekoran kedua-dua empangan dari bekalan air mentah tambahan melalui projek HORAS 600.

Katanya, walaupun projek terbabit belum siap sepenuhnya, HORAS 600 berjaya membekalkan air mentah sebanyak 160 juta liter sehari (JLH) untuk dialirkan ke Sungai Selangor.

Ia bagi meningkatkan paras aliran sungai dalam usaha mengurangkan pelepasan air Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi.

DNS 2016“Kedudukan paras kedua-dua empangan setakat 15 Julai 2016 terkawal walaupun keadaan musim panas melanda jika dibandingkan dengan tahun 2013 dan 2014.

“Paras simpanan empangan Sungai Selangor kini adalah sebanyak 66.63 peratus dan Sungai Tinggi sebanyak 73.07 peratus,” katanya menjawab soalan Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara), di Sidang Dewan Negeri.

HORAS 600 dibangunkan di kawasan bekas lombong di Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya membekal dan menyalurkan air mentah tambahan sebanyak 300 JLH bagi tujuan menambah kapasiti LRA SSP1 dan 3.

Terdapat dua fasa pembangunan terbabit dalam projek HORAS 600 iaitu terdiri daripada kerja pengorekan kolam utama oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), kerja membina cerun kolam, pembinaan kolam Hang Tuah dan pembinaan Rumah Pam.

Empangan Sungai Selangor membekalkan 60 peratus bekalan air kepada penduduk Lembah Klang.

Terdapat lima loji rawatan air di Lembagan Sungai Selangor yang pada ketika ini bergantung sepenuhnya pada pelepasan air mentah dari kedua-dua empangan dan aliran asas di Sungai Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.