Categories
SELANGOR

Isu letak jawatan: Zainal nafi laporan media, dakwa berita palsu

OLEH HAFIZAN TAIB

ALOR SETAR, 7 OGOS: Zainal Abidin Hassan menafikan membuat kenyataan beliau tawar hati dengan prestasi pemain Selangor dan pernah meluahkan hasrat melepaskan jawatan sebagai Ketua jurulatih.

“Saya tidak pernah bercakap dengan sesiapa baik pemberita dan juga pegawai mana pun (dalam Persatuan Bolasepak Selangor) tentang kenyataan itu.

“Saya tidak tahu daripada mana beliau mendapat berita itu dan ia adalah palsu serta fitnah,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang Kedah di Stadium Darul Aman, di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan Liga Super itu, Kedah mengalahkan Selangor 1 – 0.

Ia kekalahan ketiga The Red Giants dalam liga ekoran sebelum ini dihampakan Felda United (2 – 1), 26 Julai dan T-Team (1 – 0), 3 Ogos lalu.

Kekalahan itu menyebabkan kwdudukan Selangor tergugat di tempat ketiga kerana hanya satu mata membezakan kedua-duanya.

THE RED GIANTSBiarpun keadaan itu memberi tekanan kepada dirinya namun Zainal menjelaskan terus menjalankan tanggungjawab selagi kepercayaan diberikan kepadanya.

“Selagi usaha saya diperlukan dan pemain hormati saya juga bersetuju bekerja lebih keras, saya akan teruskan,” katanya.

Sebelum ini, laporan berita bertajuk “Zainal Sudah Tawar Hati” tersiar dalam salah sebuah akhbar harian antara lain menyatakan mantan pemain kebangsaan itu kecewa dengan aksi turun naik anak buahnya dan berhasrat melepaskan jawatan tetapi dihalang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.