Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Izzah: Kebajikan Melayu terbela tanpa Umno

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron kononnya tiada parti lain dapat menandingi Umno dibidas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Izzah berkata, Pilihanraya Umum ke 12 jelas membuktikan, Selangor dimenangi pembangkang dan kini 69 peratus dokongan masyarakat Melayu negeri itu membuktikan kebajikan mereka terjaga tanpa Umno.

Katanya, kemenangan dan dokongan 54 peratus undi Melayu pada PRU 1999 juga membuktikan kebolehpercayaan masyarakat Melayu terhadap wadah politik yang memperjuangkan keadilan.

RAKYAT SELANGOR“Ia diwakili Parti Keadilan Nasional, DAP dan juga pas di bawah Barisan Alternatif ketika itu. Umno menjadi parti yang kehilangan undi majoriti Melayu.

“Lihat saja Pilihanraya Umum 2008, Selangor dirampas pembangkang, itu sudah membuktikan tanpa Umno kebajikan masyarakat Melayu terjaga,” katanya kepada SelangorKini menerusi aplikasi Whatsapp.

Izzah turut mengingatkan bahawa rakyat semakin meluat dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipandu Presiden Umno.

“Lama kelamaan masa depan masyarakat Melayu menghadapi risiko kemelut hutang piutang di bawah Umno,” katanya.

Beliau berkata pembuktian mutakhir menerusi kewujudan parti baru Bersatu jelas menunjukkan kehidupan politik pasca Umno dalam meralisasikan dasar dan agenda rakyat dibelenggu masalah rasuah.

Sebelum ini, Idris berkata tiada parti yang boleh meniru atau menggantikan Umno sebagai sebuah parti yang telah dan terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Beliau, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, sejak ditubuhkan pada 1946, Ummo melalui proses kematangan sungguh hebat, terutama dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dan proses itu tidak boleh ditiru mana-mana parti yang baru ditubuhkan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.