Categories
SELANGOR

Kelab Penyokong Kerajaan Negeri gesa PM letak jawatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Selangor (BBC DNS) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dengan kadar segera ekoran penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata hal itu berikutan penglibatan beliau dalam skandal 1MDB bukan sahaja memalukan rakyat, malahan turut mencemar maruah negara.

“Datuk Seri Najib perlu meletakkan jawatan dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam skandal terbesar yang memalukan rakyat negara ini.

CP2A8885-800x533“Sebagai rakyat dan ahli BBC DNS, kami sepakat mendesak beliau meletakkan jawatan dengan kadar segera. Kalau beliau sayang rakyat dan negara, maka perlu letak jawatan supaya imej negara tidak terus tercemar dengan skandal terbesar seperti itu,” kata Suee Lim.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) Darul Ehsan Ke-13, di sini, hari ini.

ADN Andalas, Dr Xavier Jeyakumar, pula berkata Najib ketika ini sedang menghadapi masalah hilang kepercayaan oleh rakyat.

“Hari ini, seolah-olah agensi kerajaan ditunggang kabinet dan beliau bagi menyelamatkan diri-sendiri. Kabinet perlu berani menolak Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, ADN Sabak, Sallehen Mukhyi, pula berkata Kerajaan Persekutuan perlu mendedahkan semua fakta berkaitan.

“Tidak boleh dirahsiakan apa-apa mengenai 1MDB melain didedahkan kepada rakyat supaya dapat dibuktikan siapa atau pelaku yang membawa kecelakaan besar terhadap rakyat Malaysia,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.