Categories
SELANGOR

Khabar baik buat Selangor, Indonesia jamin jerebu tidak serius tahun ini

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 12 OGOS : Selangor menyambut baik kenyataan Indonesia berhubung jerebu rentas sempadan dengan jaminan ia tidak seserius tahun lepas berikutan tindakan drastik diambil pihaknya mencegah kebakaran hutan di negara itu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata sudah tentu jaminan itu membawa khabar baik buat Selangor yang selama ini antara negeri terkesan teruk akibat jerebu.

“Sejujurnya kenyataan Indonesia itu dialu-alukan dengan harap apa yang dijanjikan itu menjadi kenyataan dan kita tidak mahu bila tiba masanya, musibah sama masih terus berlaku.

“Kita memandang serius perkara ini kerana Selangor antara negeri terjejas teruk setiap kali berlakunya jerebu.

“Sudah tentu Indeks Pencemaran Udara (IPU) kawasan pinggir pantai dan sekitarnya seperti Banting, Pelabuhan Klang malah Shah Alam paling teruk terkesan sehingga menjejaskan aktiviti harian rakyat dan sekolah terpaksa ditutup,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

SEKOLAH TUTUP JEREBUPada 15 September 2015, sejumlah 2,045 sekolah di lima negeri termasuk Selangor terpaksa ditutup kerana bacaan IPU menghampiri tahap sangat tidak sihat.

Semalam, Penasihat Kanan Mengenai Tenaga kepada Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Arief Yuwono berkata Jakarta mempunyai komitmen kukuh mencegah kebakaran hutan, dari peringkat presiden hinggalah ke peringkat akar umbi.

Katanya, mereka yang bertanggungjawab dalam kebakaran hutan akan dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang dan peraturan.

Ditanya sama ada Jakarta akan meminta sokongan ASEAN bagi memerangi kebakaran hutan, Arief berkata mereka akan menggunakan sumber sendiri terlebih dahulu untuk melindungi kedaulatan negara itu.

“Apabila buat perbandingan antara 2015 dan 2016, saya percaya berdasarkan ramalan terkini, jerebu akan berkurangan, tidak begitu serius, hanya berskala kecil,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Ke-12Persidangan Pihak-pihak Kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-12) di ibu negara, semalam.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.