Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Bersatu hati tegakkan keadilan, hayati semangat merdeka

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengajak rakyat bersatu hati menegakkan keadilan bagi menghayati semangat kemerdekaan yang dikecapi sejak 59 tahun lalu.

Katanya, sebagai generasi pasca kemerdekaan, rakyat bertanggungjawab mengekalkan keamanaan dengan semua bangsa serta melakar kejayaan lebih gemilang.

“Kemerdekaan mesti disambut dengan pengisian dengan makna yang boleh memaknai erti kemerdekaan sebenar.

“Kita perlu kembali dengan semangat kemerdekaan seperti yang termaktub dalam permahsyuran kemerdekaan.

“Almarhum Tunku Abdul Rahman menegaskan, Persekutuan Tanah Melayu kekal menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasarkan kebebasan serta keadilan,” katanya.

CP2A2815-1024x683Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, malam tadi.

Hadir sama dalam sambutan itu Ketua Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman, Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh serta barisan Ahli Dewan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen.

Sambutan ambang Hari Kemerdekaan berlangsung meriah dengan kehadiran rakyat pelbagai lapisan bangsa dan agama dengan kemeriahan acara disediakan termasuk perarakan 63 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan NGO.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut merakamkan penghargaan khusus kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas persembahan hebat dalam perarakan kemerdekaan.

Selain itu, hadirin turut berpeluang melihat persembahan kawat senyap daripada pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tambo dan Tempur Tanpa Senjata daripada 11 Bridged.

Menjelang detik jam 12.00 tengah malam, hadirin bersama-sama membaca ikrar Rukun Negara dan disusuli laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Dato’ Menteri Besar serta percikan bunga api hampir sepuluh minit yang memeriahkan langit bandaraya Shah Alam.

EZY