Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Noh boleh belajar urus PPR dengan Kerajaan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 8 OGOS: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berbesar hati untuk menjemput Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar mempelajari selok-belok pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor.

Beliau secara sinis menyifatkan Noh sedang ghairah untuk menjuarai isu rakyat kerana baru sahaja dilantik kembali menjadi menteri selain memperoleh gelaran Tan Sri.

“Sudah terlambat, Noh Omar dia baru dapat (gelaran) tan sri, baru jadi menteri, dia baru nak belajar bagaimana nak tolong orang susah. Sudah terlambat.

“Saya fikir mahu jemput Noh Omar datang belajar dengan Kerajaan Negeri sebelum buat sebarang kenyataan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Tanjong Karang itu mengenai isu PPR di Selangor.

Azmin-RakyatMohamed Azmin menjelaskan, Kerajaan Negeri sudah menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat Selangor memiliki rumah terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

“Kita dah laksanakan perkara ini beberapa tahun lepas, kita ada Program Dana Selangor iaitu siapa sahaja yang terlibat dalam perumahan kos rendah yang tidak ada kapasiti untuk memohon pinjaman bank, tidak ada penyata gaji, tidak ada pekerjaan tetap, tidak ada penjamin. Maka, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM20 juta.

“Ini bukan perkara baru untuk Kerajaan Negeri tapi terlalu baru untuk Noh Omar,” katanya.

Noh sebelum ini memberitahu, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Kerajaan Negeri bagi memohon mengambilalih pengurusan dan penyelenggaran bangunan PPR di Selangor.

Katanya, langkah terbabit kononnya sebahagian daripada transformasi serta pendekatan baharu kementerian dalam pengurusan PPR selepas melihat kegagalan Kerajaan Negeri dalam menguruskan PPR di Lembah Subang 1.

Bagaimanapun, Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad menzahirkan rasa kesal di atas sikap Noh yang bermain politik dalam kebajikan rakyat sekali gus meminta menteri itu tidak berlagak seperti hero.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.