Categories
NASIONAL

Azmin tidak tahu penubuhan parti baru Muhyiddin

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 8 OGOS: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang butiran berkenaan parti baru yang bakal ditubuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, parti itu bukan di bawah kendaliannya, malah menafikan wujudnya perbincangan antara penganjur parti baru itu dengan parti pembangkang.

“Tak tahu, tak ada bincang. Bukan parti saya macam mana saya nak tahu.

“Parti saya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), saya rapat dengan semua orang satu Malaysia,” katanya ringkas.

Memetik laporan portal Malaysiakini, mantan ketua pengarang New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin berkata, adalah tidak adil menuduh Muhyiddin membelakangkan kepelbagaian budaya dengan membuka keahlian hanya kepada bumiputera dalam parti baru yang akan ditubuhkannya.

Katanya, langkah itu adalah strategik supaya tidak bertembung dengan parti lawan BN yang berlatar belakang pelbagai kaum dan perbincangan dengan parti pembangkang lain menunjukkan ‘tanda-tanda positif’.

Minggu lalu, Kadir juga mengesahkan bahawa keanggotaan parti yang bakal ditubuhkan Muhyiddin hanya akan dibuka kepada masyarakat Melayu dan bumiputera sementara bekas Perdana Menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi pengerusi parti, manakala Muhyiddin sebagai presiden.
-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.