Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Semak semula jajaran hentian HSR, hormati suara rakyat Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 8 OGOS: Kerajaan Negeri mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya menyemak semula jajaran hentian stesen transit bagi perkhidmatan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) supaya rakyat di Selangor dapat merasai bersama pembangunan yang akan dilakukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan Kerajaan Persekutuan sepatutnya menghormati suara rakyat Selangor dengan berbincang secara baik supaya sekurang-kurangnya satu stesen transit dibina di negeri itu.

“Ia (HSR) melalui Selangor 36 kilometer tapi tidak mahu bina satu stesen di ini. Yang di Melaka itu, saya ingat kalau dia berhenti terlepas masuk ke Negeri Sembilan, ada stesen.

“Sampai di Selangor, dia langkau kita pergi ke Putrajaya. Saya dan pimpinan menegur, setiap kali datang pembangunan di Selangor, hak kita dinafikan.

IMG20160808092718“Kita juga mahu menikmati kemudahan ini dan pertumbuhan ekonomi berlaku di Selangor. Maka, kita minta semak semula jajaran laluan keretapi ini supaya laluan di negeri ini dapat dibina sekurang-kurangnya satu stesen,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan wujudnya cadangan pembinaan satu stesen transit HSR di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Jalan Sungai Merab, Bangi.

Berdasarkan perbincangan sebelum ini, Kerajaan Negeri dimaklumkan tiada sebarang stesen transit akan dibina di Selangor sebaliknya Kerajaan Persekutuan akan membina tiga stesen di Johor, satu di Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

Tegasnya, HSR satu projek yang baik jika berjaya dilaksanakan kerana mampu menjana pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara sementara Selangor sudah pastinya mahu menganbil manfaat daripada pembangunan itu.

HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura akan mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan dan dijangka mula beroperasi pada 2026.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.