Categories
SELANGOR

MDKS roboh iklan haram tanpa permit

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sekurang-kurangnya lima papan iklan haram diroboh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) selepas notis amaran tidak diendahkan agensi papan iklan berkaitan.

Setiausaha MDKS, Azahari Sairin, berkata tindakan tegas itu diambil berikutan lambakan papan tanda dipasang tanpa kebenaran dan permit pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tindakan diambil sebagai langkah pencegahan kerana papan tanda tersebut tidak kukuh dan menepati syarat ditetapkan MDKS serta membahayakan orang awam.

“MDKS telah mengeluarkan notis kepada syarikat bertangungjawab, namun hanya tiga pemilik sahaja memberi maklum balas merobohkan sendiri papan iklan visual mereka,” katanya dalam kenyataan.

Azahari berkata, tindakan penguatkuasaan dan perobohan akan dilaksanakan dari masa ke masa bagi membanteras pemasangan papan iklan haram yang semakin berleluasa di daerah ini.

“Papan iklan ini dipasang di kawasan tanah rizab milik MDKS dan di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil Iklan (7) Undang-Undang Kecil Iklan MDKS 2007.

“Operasi dilaksanakan secara bersepadu bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta kontraktor dilantik,” katanya.

Katanya, MDKS turut menitikberatkan mengenai gambar papan iklan dan mana-mana pengusaha perlu memastikan ia dalam keadaan sopan dan tidak menjolok mata.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.