Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PR1MA, tolonglah berkata benar!

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OGOS: Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) didakwa tidak bercakap benar berkenaan dakwaan kononnya badan itu gagal membina perumahan di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata alasan PR1MA tidak boleh diterima memandangkan tiada bukti menunjukkan projek perumahan tertangguh akibat premium tinggi.

“Kita minta PR1MA memberikan kes spesifik. Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mana tertangguh akibat premium atau benarkah birokrasi pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti didakwa?

“Atau berapa banyak permohonan Kebenaran Merancang (KM) untuk PPR dihantar ke PBT tetapi masih belum mendapat kelulusan? Jawapannya tiada,” katanya kepada SelangorKini.

Iskandar berkata demikian mengulas kenyataan PR1MA yang mendakwa perumahan itu tidak dibina ekoran Kerajaan Negeri mengenakan premium tanah tinggi.

PR1MA juga mendakwa karenah birokrasi dalam kalangan PBT menjadi punca perumahan terbabit tidak dibina di Selangor ditambah projek aliran transit ringan (LRT) disediakan Kerajaan Persekutuan menyebabkan Kerajaan Negeri menaikkan harga tanah di sekitar.

Sebaliknya, Iskandar berkata, PR1MA gagal mengotakan janji untuk memajukan tapak LRT Pandan Jaya, Pandan Indah dan Chempaka sejak dua tahun lalu.

ISKANDAR SAMADLebih teruk, katanya, pihak terbabit masih belum menghantar permohonan KM.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan PR1MA pada Mei lalu, namun sehingga hari ini mereka belum lagi memohon KM,” katanya.

Beliau berkata, PR1MA juga sebelum ini bersetuju membina 500 unit rumah dengan harga RM42,000 hingga RM250,000.

“Walaupun hanya 500 unit bukan jumlah besar tetapi ia dapat memenuhi keperluan penduduk setempat,” katanya.

Jun lalu, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju PRIMA mengambil alih projek Rumah Selangorku dari pemaju swasta supaya badan itu dapat mencapai sasaran mereka.

Projek itu adalah di Cyber 11, Cyberjaya membabitkan 1,932 unit Rumah Selangorku dengan mematuhi beberapa syarat.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.