Categories
SELANGOR

Sedia bantu kos baik pulih bilik terbakar Masjid Negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kerajaan Negeri bersedia memberi peruntukan khas untuk kos baik pulih bilik kuliah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata siasatan mengenai kebakaran itu baru diselesaikan bomba forensik.

Manakala, katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) berkaitan pelan baik pulih dan anggaran kos.

“Kita bersedia menyalurkan peruntukan dana yang dapat membantu terutama dalam kos baik pulih bilik berkenaan.

“Jika semuanya selesai, kita akan meneliti perkembangan tersebut dan kerajaan sedia membantu dalam mempercepatkan proses baik pulih,” katanya ketika dihubungi.

Minggu lalu, sebuah bilik kuliah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, musnah dalam satu kebakaran kira-kira pukul 2.20 petang.

Kebakaran berkenaan memusnahkan keseluruhan bilik kuliah berkeluasan 54 meter persegi itu dan api berjaya dipadamkan kira-kira 20 minit selepas jentera tiba.

Tiada kemalangan jiwa direkodkan berikutan tiada sesi kuliah ketika kebakaran berlaku dan jemaah pula sedang beransur pulang selepas selesai solat Jumaat.

Ketika ini sesi pengajaran dan pembelajaran kuliah memang kita hentikan sementara sejak kes kebakaran berlaku.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.