Categories
SELANGOR

Agro Forestry bantu peneroka Hutan Simpan Templer terus bertani

OLEH AFIX REDZUAN

SELAYANG, 6 OGOS: Kerajaan Negeri berusaha membantu beberapa peneroka di kawasan Hutan Simpan Templer mendapatkan pengesahan taraf pertanian memandangkan ketika ini mereka menjalankan aktiviti itu di kawasan rizab hutan simpan.

Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata tanah itu sudah diteroka sejak 1985 dan lebih 100 ekar daripadanya sudah diusahakan.

“Kita nak menyelesaikan terus permasalahan rakyat di Hutan Templer atau lebih dikenali sebagai Hutan Lipur Kanching. Ia hutan simpan kekal dirizabkan pada 1995 walhal ia sudah diteroka untuk aktiviti pertanian sejak 1985 lagi.

“Mereka tidak dapat menyelesaikan pemilikan hak milik. Hampir 100 ekar sudah ditanam pelbagai jenis pokok dan kawasan itu masih rizab hutan. Kita tidak galakan supaya ia ditarik keluar,” katanya.

IMG20160806124644Beliau berkata, konsep Agro Forestry mungkin digunapakai supaya hutan itu kekal sebagai rizab Kerajaan Negeri tetapi pada masa sama peneroka masih dibenarkan untuk meneruskan aktiviti pertanian.

Difahamkan lebih 50 peneroka terdiri daripada pesara tentera melakukan aktiviti pertanian serta akuakultur di situ namun latar belakang mereka dinilai terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Selain itu, beliau menggalakkan orang ramai yang berminat mengusahakan aktiviti pertanian mengemukakan permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Zaidy sebelum itu merasmikan Karnival Jelajah Infratani peringkat DUN Taman Templer di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang.

Katanya, jelajah ini merupakan langkah hebahan kepada umum penganjuran pameran pertanian terbesar, Agrofest Selangor 2016 yang bakal berlangsung 20 hingga 23 Oktober depan di Pantai Morib.

Beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan makanan kepada 100 penerima #SmartSelangor Food Stamp dan Skim Mesra Usia Emas SMUE.

Beliau turut melawat beberapa gerai pameran disediakan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Petanian Negeri Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.