Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor perkenal dasar pembangunan SOHO mesra usahawan muda

SHAH ALAM, 23 OGOS : Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan Dasar Pembangunan Pangsapuri Kediaman Komersial dan Boutique Office Mampu Milik khusus menyediakan ruang perniagaan kepada golongan usahawan muda yang baru menceburi perniagaan dan tidak memerlukan ruang pejabat besar.

Dasar berkenaan berkuatkuasa ke atas semua cadangan pembangunan Pangsapuri Kediaman Komersial dan Boutique Office baharu yang dikemukakan pemaju semasa peringkat Kebenaran Merancang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai 1 September tahun ini.

Keputusan diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri lalu yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu meliputi Service Apartment, Small Office Home Office (SOHO), Service Apartment atau SOHO di kawasan Transit Oriented Development (TOD), Small Office Versatile Office (SOVO) atau Small Office Flexible Office (SOFO).

“Usahawan muda merupakan aset negara dan khususnya Selangor yang merupakan penyumbang hasil negara terbesar.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif  membantu mereka dengan dasar yang juga merupakan sebahagian daripada komitment berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan rumah mampu milik untuk golongan menengah dan bawah,” katanya Mohamed Azmin.

Di bawah dasar ini, komponen pembangunan kediaman mampu milik bagi empat jenis Pangsapuri Kediaman Komersial dan Boutique Office itu adalah di antara 10 hingga 30 peratus bergantung pada jumlah unit keseluruhan dibangunkan.

SELANGOR SOHOHarga jualan setiap unit ditetapkan tidak melebihi RM250,000 selaras dengan Dasar Rumah Selangorku dengan keluasan setiap unit antara 450 sehingga 550 kaki persegi.

Dengan keutamaan kepada usahawan muda berumur tidak melebihi 40 tahun, mereka berminat membeli perlu memenuhi syarat pendapatan tunggal atau bersama pasangan tidak melebihi RM15,000 sebulan.

Pembeli dan pemohon yang berminat juga hanya dibenarkan memiliki satu unit sahaja daripada unit ditawarkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Maklumat lanjut dan pendaftaran bagi memiliki hartanah mampu milik ini boleh dilakukan dengan menghubungi LPHS.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.