Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

1,100 lembu diagih laksana korban

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri mengagihkan 1,100 lembu kepada 675 masjid dan surau di Selangor bagi tujuan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata program Kerajaan Negeri bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bukan sekadar acara tahunan tetapi membawa makna besar melalui pembabitan secara langusng anak syarikat Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan.

“Pada tahun ini kita menyerahkan 1,100 ekor lembu kepada 675 masjid dan surau solat Jumaat di semua sembilan daerah di Selangor.

“Harapan kita supaya program seumpama ini dapat menerapkan semangat pengorbanan cukup tinggi di kalangan pimpinan untuk bersama menyemarakkan syiar Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu Sempena Sambutan Aidiladha peringkat Selangor 1437H/2016M di sini, semalam.

img_20160907_174935_919Beliau berkata, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail yang tidak mengingkari perintah Allah wajar menjadi panduan bagi memiliki keimanan tinggi dalam melakukan pengorbanan serta bertugas dengan ikhlas.

Katanya, usaha digerakkan adalah permulaan yang baik untuk semua pihak bertindak secara tuntas dalam melakukan amal ibadah kepada Allah.

“Kita berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk sosio ekonomi juga kepimpinan dan bagi saya semua ini pastinya mempunyai penyelesaian sekiranya umat Islam bersatu serta berpegang kepada prinsip menurut perintah Allah.

“Sambutan Aidiladha tahun ini adalah kesempatan baik untuk kita memperkukuhkan ukhwah dan persaudaraan kita.

“Mudah-mudahan persaudaraan utuh ini, kita dapat mendepani arus cabaran semakin getir hari ini,” katanya.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman serta Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim.

Majlis juga disertai Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Soffan Affendi Aminudin serta Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali.

EZY