Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2017: Kerajaan disaran potong GST, gaji Menteri, henti projek mega

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kerajaan disaran mengurangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada enam peratus kepada 2 peratus menjelang 2017 bagi membolehkan ekonomi negara dapat bertahan dalam menghadapi keadaan ekonomi negara tidak menentu pada 2017 nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata selain memotong GST, kerajaan juga perlu menghentikan projek mega yang menelan perbelanjaan tinggi.

“Pertumbuhan ekonomi semakin perlahan. Kerajaan harus mengambil langkah melaksanakan polisi yang mampu melawan kitaran penurunan kadar ekonomi seperti kurangkan GST dan selain itu kerajaan juga boleh menurunkan cukai lain seperti cukai korporat, cukai pendapatan dan sebagainya. Kita masukkan wang ke dalam poket rakyat dan rakyat boleh berbelanja.

dr_rosli_yaakob_“Kita perlu menilai semula kadar GST yang dikenakan, sekarang 6 peratus perlu dikaji untuk diturunkan kalau tidak kepada kosong peratus kepada 2 hingga 3 peratus supaya beban rakyat boleh diringankan sedikit dan mereka mempunyai lebih wang untuk berbelanja dan sekaligus merancakkan ekonomi.

“Projek yang tidak memberi sumbangan kepada peningkatan produktiviti harus dihentikan seperti Taman Tugu. Projek ini harus dihentikan sehingga ekonomi kita betul-betul pulih kerana projek ini tidak menambah kepada kapasiti pengeluaran barangan atau perkhidmatan dan sekaligus menyemarakkan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Jelasnya dalam keadaan kewangan kerajaan yang lemah dan keadaan ekonomi tidak menentu, projek Taman Tugu perlu dihentikan ekoran projek menelan perbelanjaan sebanyak RM650 juta itu bersifat mewah dan bukanlah satu keperluan mendesak.

Katanya, kerajaan juga perlu mengkaji syarat pinjaman perumahan seperti kemungkinan mengurangkan deposit 10 peratus pembelian rumah dan kadar faedah pinjaman yang dikenakan.

belanjawan-2017Hal ini berikutan, syarat ketat menyebabkan ramai ingin membeli rumah tidak mampu menyediakan 10 peratus wang deposit sekali gus menyebabkan lebih banyak lambakkan rumah tidak terjual.

“Langkah seterusnya, langkah memotong gaji Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen. Ini menunjukkan mereka bertanggungjawab membantu memulihkan ekonomi negara dengan sanggup memotong gaji masing-masing.

“Tingkatkan promosi untuk memasarkan produk tempatan di luar negara termasuk produk pelancongan. Perlu beri galakkan untuk meningkatkan eksport dan pelancongan kita,” katanya lagi.

Tambah Dr Rosli, pemberian BR1M juga perlu dikaji semula dengan mensasarkan kepada golongan yang betul-betul memerlukan dan bukannya dilihat hampir menyeluruh.

-nR-