Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Helmi diyakini terus mencabar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 SEPT: Mohd Helmi Azman diyakini akan terus mencabar hebat dalam pemburuan gelaran Wira menjelang aksi pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Pasir Gudang, Johor, pada 3 dan 4 September ini.

Pelumba kelahiran Selangor berusia 17 tahun mewakili pasukan IUGB AFB Tech Racing di bawah pengurusan mantan juara Cub Prix, Ahmad Fuad Baharudin yang percaya dia kini sedang membimbing pelumba berpotensi dan mampu menyinar di arena permotoran negara.

Walaupun tidak beraksi pada pusingan pembukaan, beliau mempamerkan aksi memberangsangkan dengan meraih empat podium bermula pusingan ketiga termasuk dua kemenangan berturut-turut pada pusingan kelima di Teluk Intan, Perak dan keenam di Kemaman, Terengganu.

Helmi kini menduduki tangga kedua keseluruhan dengan 103 mata sekali gus menghimpit kedudukan pendahulu keseluruhan, Mohd Shafiq Ezzariq (130).

Ahmad Fuad yang juga pemilik pasukan berkata, walapun pasukan mempunyai pelumba dianggap berpotensi ketika ini, namun beliau sentiasa mengingatkan Helmi supaya jangan terlalu yakin dan sentiasa berhati-hati.

“Memandangkan dia masih muda, Helmi perlu sentiasa berkeinginan tinggi, berlatih dan bekerja lebih keras terutama untuk memahami jentera dan kemahiran perlumbaannya.

“Berkenaan peluang untuk mengejar gelaran keseluruhan, ia mungkin satu tugas sukar buatnya kerana Shafiq konsisten berada di kedudukan hadapan dalam setiap perlumbaan, namun Helmi tidak boleh berputus asa.

helmi02“Masih ada baki tiga pusingan perlumbaan dan peluang masih terbuka,” katanya.

Pelumba muda IUGB AFB Tech Racing itu turut mencipta kejayaan di pentas Asia setelah memenangi perlumbaan Underbone 130cc Kejuaraan Motosikal Asia di Litar Sentul, Indonesia, bulan lalu.

Helmi memulakan karier perlumbaan profesional pada 2013 dengan menyertai perlumbaan Super Siri Yamaha 135, siri perlumbaan pembangunan di Kejuaraan Cub Prix dan menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan.

Pada 2014 dan tahun lalu, beliau terpilih beraksi di siri kejuaraan Asia Talent Cup dan menamatkan perlumbaan di tangga ke-10 keseluruhan sebelum beraksi bersama pasukan IUGB AFB Tech Racing dalam kategori Wira tahun ini.

-AA-