Categories
KENYATAAN MEDIA

Daya Saing Global 2016-2017: Faktor dalaman Malaysia jatuh 7 tangga

OLEH : Ooi Heng & Elijah Khor

 

Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah mengumumkan Laporan Daya Saing Global (GCR) tahun 2016-2017, di mana Malaysia berada pada kedudukan ke-25 daripada 138 buah negara, iaitu kejatuhan sebanyak 7 tangga daripada kedudukan ke-18 daripada 140 buah negara bagi tahun 2015-2016.

 

Walaupun Malaysia masih antara negara yang paling baik di rantau Asia ini, namun pada pendapat badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU), terdapat beberapa faktor kejatuhan kedudukan yang wajar dikhuatiri.

 

Pertama, setelah dua tahun berturut-turut berada dalam kedudukan 20 teratas (2014-2015: 20 dan 2015-2016: 18), Malaysia kini terkeluar daripada kedudukan 20 teratas dan kembali ke kedudukan lama semenjak Datuk Seri Najib Razak memegang tampuk pemerintahan negara. Malaysia berada pada kedudukan ke-24 dan ke-26 bagi tahun 2009-2010 dan 2010-2011.

 

Kedua, daripada 12 aspek yang dikenalpasti dalam Laporan Daya Saing sebagai faktor utama mempengaruhi daya saing negara sedunia, Malaysia mengalami kejatuhan dalam lapan aspek, khususnya dalam aspek Institusi, Kesihatan dan Pendidikan Rendah, serta Pendidikan Tinggi dan Latihan. Aspek-aspek ini menunjukkan betapa keberkesanan dasar-dasar aspek berkaitan harus diberi tumpuan yang sewajarnya dalam pembentangan Bajet Negara 2017 yang bakal berlangsung pada 21 Oktober 2016.

 

Sedangkan aspek Institusi berada pada kedudukan ke-26, kedudukan Malaysia bagi tiga aspek yang lain adalah masing-masing berada pada kedudukan ke-44 bagi Kesihatan dan Pendidikan Rendah, kedudukan ke-41 bagi Pendidikan Tinggi dan Latihan, dan kedudukan ke-43 bagi Kesediaan Teknologi.

 

Ketika Bajet 2016 diumumkan pada 24 Oktober 2015, peruntukan bagi Kementerian Kesihatan dikurangkan sebanyak RM281 juta berbanding dengan Bajet 2015, iaitu daripada RM 23.3 bilion kepada RM23 bilion.

 

Malah, setakat Bajet 2015, seperti mana yang ditonjolkan dalam Jadual KPRU di bawah, Kementerian Kesihatan merupakan satu-satunya kementerian yang mengalami pengurangan peruntukan pembangunan berturut-turut sepanjang pentadbiran Najib.

 

Jadual KPRU: Perbezaan anggaran perbelanjaan pembangunan Kementerian Kesihatan 2010-2015

Tahun

Perbelanjaan Pembangunan (RM juta)

 

Perubahan (RM juta)

Peratus Perubahan (%)

2010

3,569

NIL

NIL

2011

1,958

-1,611

-45.14

2012

1,785

-173

-8.84

2013

1,718

-67

-3.75

2014

1,662

-56

-3.26

2015

1,598

-64

-3.85

 

Sedangkan peruntukan bagi kementerian dipotong, pesakit yang mendapatkan rawatan hospital bertambah. Pada 10 Ogos 2016, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata bahawa dalam masa lima bulan yang lalu, jumlah pesakit yang datang ke hospotal meningkat 8%.

 

Kini kita sedang berdepan dengan ancaman baru virus Zika, di mana beberapa negara telah membuat kajian tentang vaksin Zika, dan kita perlu menunggu masa yang lama untuk mendapatkan vaksin daripada negara lain. Begitu juga kes denggi. Sekiranya peruntukan Bajet mencukupi, Kementerian Kesihatan Malaysia sepatutnya dapat memberi tumpuan yang sewajarnya kepada kajian berkaitan.

            

Aspek pendidikan juga membimbangkan. Dalam beberapa tahun ini, para guru sekolah didapati tidak dapat menumpu perhatian, tenaga, dan masa mereka dalam mengajar. Antaranya kerana, mereka dibebankan dengan tugas-tugas mengisi data atas talian yang diperlukan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, dan Jabatan Pendidikan Negeri. Yang lebih serious, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah banyak mendatangkan kontroversi kerana bukan sahaja sangat membebankan guru untuk menilai pelajar mereka dan mengisi data, malah tidak berkesan dalam menilai upaya akademi pelajar, yang sepatutnya dibuat dengan peperiksaan.

 

Dalam Bajet 2016, Kementerian Pendidikan Tinggi mengalami pengurangan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion berbanding dengan Bajet 2015, iaitu daripada RM15.8 bilion kepada RM13.4 bilion, dan ini adalah sebanyak 15.25%! Malah, pengurangan peruntukan pembangunan hampir 40%!

 

Jadual KPRU: Perbezaan anggaran perbelanjaan Kementerian Pendidikan Tinggi 2015-2016

Tahun

Anggaran perbelanjaan (RM)

Perbezaan (RM)

Peratus perbezaan (%)

2015

15,784,848,700

NIL

NIL

2016

13,378,317,000

-2,406,531,700

-15.25

 

Jadual KPRU: Perbezaan anggaran perbelanjaan mengurus Kementerian Pendidikan Tinggi 2015-2016

Tahun

Anggaran perbelanjaan (RM)

Perbezaan (RM)

Peratus perbezaan (%)

2015

13,147,617,100

NIL

NIL

2016

11,767,147,000

-1,380,470,100

-10.5

 

Jadual KPRU: Perbezaan anggaran perbelanjaan pembangunan Kementerian Pendidikan Tinggi 2015-2016

Tahun

Anggaran perbelanjaan (RM)

Perbezaan (RM)

Peratus perbezaan (%)

2015

2,637,231,600

NIL

NIL

2016

1,611,170,000

-1,026,061,600

-38.91

 

 

Pada 20 September 2016, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) meminta kerajaan supaya mengkaji semula peruntukan untuk universiti awam demi menjamin mutu pendidikan tinggi. Mereka bimbang bahawa kekurangan peruntukan akan menjejaskan penyediaan kemudahan universiti yang mempunyai makmal, bengkel, dan hospital.

 

Bayangkanlah, sekiranya sesebuah universiti tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membeli dan mengurus kemudahan yang digunakan untuk pengajaran, adakah universiti masih mampu menyampaikan pendidikan yang bermutu?

 

Lagipun, kini Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang dilanda dengan masalah tunggakan pembayaran balik pinjaman, dan terpaksa mengambil langkah seperti penyenaraian hitam, yang mendapatkan kerjasama Jabatan Imigresen untuk menghalang penghutang keluar ke negara, serta “tanda hitam” dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) yang bakal menyusahkan mereka untuk mendapatkan pinjaman bank.

 

Pada masa yang sama, PTPTN juga mengumumkan bahawa mereka tidak mampu membiayai para peminjam dengan sepenuhnya, dan kami berpendapat bahawa ini akan mendatangkan masalah kepada kemasukan pelajar universiti, kerana para pelajar dari keluarga miskin memerlukan pembiayaan penuh.

 

Dari segi teknologi pula, Malaysia masih mengalami masalah dalam Internet jalur lebar (broadband). Telekom Malaysia Berhad (TM), pengusaha jalur lebar yang terbesar di negara yang mengusahakan Streamyx dan UniFi, hampir memonopolikan seluruh pasaran jalur lebar, dan tiada syarikat pengusaha yang lain dapat menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang setanding dengan TM. Akibatnya, bil jalur lebar di Malaysia adalah mahal, walaupun lebih perlahan daripada banyak negara lain.

 

Menurut laporan pada April 2014 oleh Asean Briefing, sedangkan Malaysia menawarkan Internet jalur lebar dengan kelajuan 10Mbps dengan harga RM199 sebulan (RM19.90 setiap Mbps), Singapura menawarkan 15Mbps dengan hanya RM95.15 sebulan (RM6.34 setiap Mbps), manakala Negara Thai menawarkan 12Mbps dengan RM79.30 sebulan (RM6.61 setiap Mbps).

 

Pada masa yang sama, ketika itu purata kelajuan Internet jalur lebar bagi kawasan Asean ialah 12.4 Mbps, maka Malaysia yang mempunyai purata kelajuan hanya 5.5Mbps bukan sahaja “bawah sederhana”, malah berada di belakang Negara Thai (17.7Mbps) dan Cambodia (5.7 Mbps)!

 

Selepas itu, menurut laporan Akamai Technologies pada Disember 2015, Malaysia berada pada kedudukan ke-73 di dunia dari segi kelajuan Internet, iaitu 4.9 Mbps secara purata, dan ini adalah di belakang Sri Lanka (5.1 Mbps), yang berada pada purata sedunia! Pada masa yang sama, purata kelajuan Singapura adalah 12.5 Mbps, purata kelajuan Negara Thai adalah 8.2 Mbps, dan purata kelajuan Korea Selatan adalah 20.5 Mbps.

 

Setakat akhir tahun 2015, penetrasi Internet jalur lebar di Malaysia adalah 77.3%. Sekiranya pasaran Internet jalur lebar boleh menjadi lebih kompetitif, di mana perkhidmatan yang lebih murah tetapi lebih baik ditawarkan, maka kita sepatutnya mampu meningkatkan lagi kadar penetrasi ini, terutamanya di kawasan luar bandar. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepatutnya berusaha dalam bidang ini, dan bukannya sibuk menyekat suara “anti-kerajaan” dalam Internet.

 

Dalam aspek institusi, kedudukan dalam laporan Daya Saing Global jatuh tiga tangga kepada tempat ke-26. Ketidakupayaan institusi dalam mengendalikan isu penting negara, khususnya yang berkaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang melanda negara kita, cukup membimbangkan pelbagai pihak, termasuk pihak swasta. Komen yang disuarakan Datuk Seri Nazir Razak jangan dipandang remeh oleh pihak pemerintah.

 

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat telah mendedahkan bagaimana pihak-pihak tertentu berkaitan dengan 1MDB telah terlibat dalam pengubahan wang haram di Amerika Syarikat dan negara lain, termasuk sebahagian wang yang telah dimasukkan ke dalam akaun beberapa individu seperti Malaysian Official 1, Jho Low, Riza Aziz, dan sebagainya.

 

Namun sehingga hari ini, institusi-institusi kerajaan kelihatan tidak berdaya untuk melakukan tindakan yang sewajarnya dan berkesan dalam menguruskan kes seumpama. Kami berpendapat, Malaysia sedang berdepan dengan ‘sindrom pengunduran institusi’ apabila berdepan dengan kes yang melibatkan pemimpin negara.

 

Kami menggesa supaya masalah yang melanda beberapa aspek penting ini dipandang serius oleh pihak pemerintah, dan tidak memandang remeh dengan mempertahankan diri dengan hujah seperti faktor luaran (kejatuhan matawang ringgit, harga komoditi dan ekonomi China). Selain faktor luaran, kewajaran faktor dalaman jangan kita ketepikan.

 

 

Ooi Heng merupakan pengarah eksekutif KPRU

Elijah Khor merupakan penyelidik KPRU

28 September 2016

 

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), bersamaan dengan Political Studies for Change (KPRU) atau 政改研究所(KPRU.

Portal rasmi: https://kprumalaysia.org/

Facebook: https://www.facebook.com/kprumalaysia/

Emel: [email protected]