Categories
GLOBAL

Letusan gunung berapi paksa 400 pelancong dipindah

JAKARTA 28 SEPT: Letusan Gunung Barujari yang melepaskan debu dan asap hingga dua kilometer ke udara meliputi Pulau Lombok memaksa pasukan penyelamat Indonesia dikerah memindahkan hampir 400 pelancong.

Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan sebahagian besarnya adalah warga asing, selepas gunung berapi di salah satu destinasi mendaki paling popular di negara itu meletus.

Dianggarkan hampir 400 orang sedang melakukan aktiviti hiking berhampiran Barujari, gunung lebih kecil di dalam kawah Gunung Rinjani, memaksa pihak berkuasa segera bertindak.

Tiada sebarang gangguan penerbangan direkodkan setakat hari ini akibat awan debu, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Hemi Pramuraharjo kepada AFP.

Beberapa penerbangan keluar masuk dari pulau Bali dibatalkan serta-merta, tetapi lapangan terbang antarabangsa di Lombok tidak terjejas.

Letusan di Gunung Rinjani bulan lalu memaksa penutupan lapangan terbang Lombok dan mengganggu beberapa penerbangan ke Bali.

EZY