Categories
NASIONAL

GHAH : Tindas rakyat, mansuhkan Akta Hasutan segera

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 SEPT: Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) kecewa dengan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini ke atas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Penyelarasnya, Amir Abd Hadi, berkata menyatakan pendapat tidak seharusnya dijadikan jenayah walau mungkin pendapat itu kadang kala berbeza dengan yang lain.

“Selepas hampir empat tahun berlalu hingga kini tiada yang terhasut, malah tiada kacau bilau berlaku.

“Hal ini membuktikan ‘kecenderungan menghasut’ di dalam akta hasutan itu sendiri terbuka kepada tafsiran terlalu luas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara dan denda RM1,800 ke atas Tian Chua yang didakwa menghasut rakyat menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum (PRU) ke 13.

Keputusan dibuat Hakim Zulqarnain Hassan selepas pihak pendakwa berjaya membuktikan tuduhan ke atasnya.

Tian Chua didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun, apabila dikatakan berucap pada sebuah program di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei 2013.

Begitupun, keputusan itu tidak menjejaskan kelayakan Tian Chua sebagai wakil rakyat.

14520375_1372561289423888_3572185202898846008_nTurut sama dihadapkan ke mahkamah ialah Hishammuddin Rais, Adam Adli, Safwan Anang, Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim.

Amir berkata, akta drakonian itu digubal penjajah British sebulan selepas darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948 yang membuatkan hampir 30,000 rakyat Tanah Melayu ketika itu ditangkap dan dipenjara.

“Jelas menunjukkan akta ini diguna penjajah menutup kritikan dan menindas rakyat dan kita tak memerlukannya. Mansuh akta hasutan segera,” katanya.

EZY