Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Haron Din meninggal dunia

SHAH ALAM 16 SEPT: Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada jam 10.10 pagi tadi waktu Malaysia.

Perkara ini disahkan Ketua Penerangan PAS, Nasaruddin Hassan, menerusi mesej aplikasi media sosial.

“Jam 10.10 pagi ini (waktu Malaysia), berita kami terima bahawa Tuan Guru Dato’ Dr Harun Din telah kembali ke rahmatillah di Hospital Stanford University US.

“Semoga Allah swt mencucuri rahmatNya dan mengampuni al Marhum Tuan Guru serta menggolongkan beliau dari kalangan hambaNya yang soleh. Aameen Ya Rabbal A’lamin.”

cscuks1uaaeawwuHaron, 76, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak malam ketika menjalani rawatan jantung di hospital berkenaan.

Haron berlepas ke AS sejak beberapa hari lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Allahyarham pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di hospital berkenaan pada 2 April 2012.

Mac lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata.

Allahyarham mula menjawat jawatan tertinggi PAS itu pada tahun lalu selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Mula bergiat aktif dalam parti sejak tahun 1974 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983).

Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am.

EZY