Categories
SELANGOR

MBSA juarai kategori pengurusan inovasi perkhidmatan awam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) unggul sebagai
johan bagi kategori pengurusan di Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor 2016, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad, berkata Kumpulan Neu-Volution dari Jabatan Bangunan MBSA mempersembahkan projek bertajuk ‘permohonan pelan untuk kemudahan pemilik taska dan tadika di kawasan MBSA yang kurang efisyen’.

Katanya, pemilihan masalah dan tajuk projek menggunakan kaedah ‘brainstorming’, analisis matriks, teknik SMARTS dan analisis kekerapan data.

“Objektif projek ini adalah untuk mempermudahkan proses permohonan pelan untuk kemudahan pengusaha taska dan tadika.

“Di samping itu, kita juga mahu menggalakkan pengusaha taska dan tadika untuk mengemukakan permohonan kepada MBSA,” katanya dalam kenyataan.

Diketuai Penolong Pegawai Seni Bina, Ahmad Yusof, Kumpulan Neu-Volution juga berjaya mendapatkan anugerah persembahan terbaik di majlis berkenaan.

Pada 25 Ogos lalu, MBSA turut mengungguli Anugerah Emas di International Convention On Quality Control Circle (ICQCC) di Bangkok, Thailand.

Shahrin berkata, buku pelan setara untuk permohonan permit binaan sementara bagi tangga keselamatan dan bumbung sengkuap (awning) akan diperkenalkan hasil projek itu.

“Ia bertujuan memudahkan pengusaha tadika dan taska berurusan dengan MBSA tanpa perlu menggunakan khidmat perunding.

“Permohonan dan kelulusan boleh diperolehi dalam tempoh sejam dengan syarat pemohon menyediakan dokumen sampingan seperti salinan perjanjian jual beli (sekiranya pemohon adalah pemilik premis), resit cukai taksiran, perjanjian penyewaan (jika pemohon adalah penyewa) dan sebagainya,” katanya.

EZY