Categories
NASIONAL

Keluarga tuntut keadilan, dakwa polis lepas tangan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 22 SEPT : Keadilan dan justifikasi keadaan sebenar mangsa tembakan polis diperlukan bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap badan itu.

Keluarga mangsa, Devendran Uvarajan, 30 berkata, polis seolah-olah cuma lepas tangan berhubung insiden tembakan yang menyebabkan kematian adiknya, S Uvarajan dan Mohamad Shahril Sugumaran Abdullah, 19 Ogos lalu.

“Dalam semakan, mereka mendakwa adik cuma terlibat dalam satu kes rekod pergaduhan tetapi Ketua Polis mendakwa kepada media, adik terlibat dalam empat kes pembunuhan.

“Mengapa polis mengeluarkan dakwaan sedemikian? Kami perlukan penjelasan, bila saya tanya, polis yang bertugas itu semudahnya jawab, dia tidak terlibat,” kesalnya.

img_0013Ketika kejadian, media melaporkan kedua-dua mangsa melepaskan tembakan ke arah polis dalam satu sekatan jalan raya di di Lebuh Raya Selayang-Kepong.

Polis mengeluarkan kenyataan, kedua-dua mangsa mati ditembak di tempat kejadian selain turut menjumpai 11 paket dadah, dua pistol, sembilan telefon bimbit dan dua kad pengenalan yang dipercayai bukan milik mangsa.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan keluarga selepas proses bedah siasat dijalankan terhadap kedua-dua mangsa.

“Kalau benar adik saya ditembak, mengapa di badannya penuh dengan kecederaan lain selain kesan tembakan?

“Lebih menimbulkan persoalan apabila tangan mereka juga terdapat kesan seolah-olah digari,” katanya pada sidang media di Pejabat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), hari ini.

Sementara itu, ibu Mohamad Shahril Sugumaran, P Saratha, 53 turut mempersoal tindakan pihak polis berhubung insiden tersebut.

“Anak saya terlalu muda dan kalau benar dia buat salah pun, adakah berbaloi tindakan yang dilakukan polis itu?” katanya sebak.

-nR-