Categories
SELANGOR

Lebih 200 pembeli Alam Perdana tarik nafas lega

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Lebih 200 pembeli kini mampu menarik nafas lega selepas projek terbengkalai Alam Perdana kini dipulihkan Kerajaan Negeri.

Penjawat awam, Zawawi Zakaria, 46, mengakui selama ini beliau terbeban dengan projek yang terbiar sepi sejak zaman Umno Barisan Nasional itu.

“Lebih 14 tahun saya menderita terpaksa bayar rumah yang tak siap dengan menanggung sewa rumah yang didiami di Shah Alam.

“Terima kasih tak terhingga kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang prihatin dengan nasib pembeli seperti kami,” katanya kepada SelangorKini.

Turut berkongsi derita, ejen hartanah, Faiza Ismail, 40, berkata hampir saban bulan beliau mengikuti perkembangan projek berkenaan dengan pihak berkenaan.

“Ia bukan perjalanan mudah, keluh kesah juga seolah tidak berguna, apalagi kami terpaksa bayar pinjaman bank.

“Dengan komitmen Kerajaan Negeri, saya yakin rumah kami boleh siap dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Arizal Abu Hassan Masri, 46, berharap usaha Kerajaan Negeri dapat dijadikan contoh pihak lain.

“Saya yakin jika sesebuah kerajaan berfungsi dengan telus, perkara sebegini dapat dielakkan.

“Kami juga tidak perlu menderita dan teraniaya. Terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya yang kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

EZY