Categories
SELANGOR

Meriahkan sambutan ulang tahun Shah Alam ke-16

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyajikan pelbagai aktiviti meriah buat semua peringkat umur selama sebulan bersempena Sambutan Bandar Raya Shah Alam ke-16.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata pada 10 Oktober merupakan tarikh ulang tahun sambutan bandar raya sementara pelbagai aktiviti dianjurkan bermula pada 8 Oktober dan berakhir 29 Oktober.

“Kita menganjurkan program hari belia dan karnival bandar selamat Shah Alam di perkarangan Stadium Shah Alam pada 8 dan 9 Oktober.

“Selain itu, kita menganjurkan Industrial Exciting Hunt 2016, pelancaran pengasingan sisa sampah di rumah dan edaran tong sampah fasa 2.

“Manakala pada 9 Oktober diadakan Mizuno Shah Alam Wave Run 2016 bagi kategori 5, 10 dan 21 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembentangan Belanjawan 2017 MBSA.

Menurut Ahmad Zaharin, MBSA juga akan menyumbangkan cenderahati kepada kelahiran ‘Bayi Hari Bandaraya pada 10 Oktober di Hospital Shah Alam, jam 3 petang.

Selain itu, MBSA turut menganjurkan majlis bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat, hari bertemu pelanggan (HBP), pertandingan golf serta pertandingan memancing.

Bersempena sambutan Bandar Raya Shah Alam ke-16, MBSA melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun Siri 2/2016 sehingga 50 peratus untuk memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun.

Pelaksanaan kempen ini bermula mulai 1 hingga 31 Oktober dengan menawarkan pengurangan sehingga 50 peratus daripada bayaran sebenar kompaun dikenakan.

“Kempen dilaksanakan merupakan inisiatif MBSA membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing,” katanya.

EZY