Categories
SELANGOR

‘Membangun Bangsa’ sempena dua tahun pemtadbiran Azmin

SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis peluncuran buku ‘Membangun Bangsa’ hasil karya Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sempena sambutan dua tahun beliau sebagai Dato’ Menteri Besar diadakan, di sini, semalam.

Mengulas mengenai buku dihasilkannya, Membangun Bangsa, Mohamed Azmin berkata, ia adalah pengalaman bermakna dilalui sebagai Dato’ Menteri Besar dalam tempoh dua tahun bersama pentadbiran Kerajaan Negeri dan semua pihak daripada peringkat atasan hingga ke bawah.

Beliau berkata, atas segala kejayaan diraih, buku itu didedikasikan kepada semua pihak berkaitan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Jabatan, Pegawai Daerah, Datuk Bandar dan Yang Dipertua.

azmin“Buku ini bukan mengenai saya tetapi lebih terhadap saudara saudari sekalian, lebih bermakna lagi adalah peranan juga sumbangan anda sebagai penjawat awam kepada kemajuan dan kemakmuran Selangor.

“Begitu juga majlis diadakan ini, bukan untuk saya sebagai Dato’ Menteri Besar untuk dua tahun tetapi bagi meraikan sumbangan penjawat awam seluruh Selangor,” katanya ketika berucap dalam Majlis ‘Memperkukuh Iltizam Memaju Negeri’ Penjawat Awam bersama Menteri Besar, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman; barisan Exco Kerajaan Negeri dan ADN.

Katanya, sokongan daripada semua pihak amat penting ke arah menjayakan agenda digariskan Kerajaan Negeri dalam memastikan negeri terus maju ke hadapan.

-NFN-