Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor perlu cemerlang di peringkat global

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 SEPT: Selangor perlu terus melangkah ke hadapan ke arah mencatat kemajuan di peringkat global selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menerusi agenda #SmartSelangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali berkata, tidak lagi mencabar bagi Selangor sekadar bersaing bersama negeri lain di negara ini bersesuaian dengan status sebagai negeri termaju..

“Mulai dari sekarang, Selangor perlu tampil sebagai negeri global atau sekurang-kurangnya sebagai negeri serantau, harus ada imaginasi Selangor laksana sebuah ‘negara’.

img_6247“Aset Selangor yang unggul adalah jumlah rakyat terbesar yang diupayakan dengan kemahiran juga bakat mereka demi peningkatan produktiviti negeri,” katanya ketika berucap dalam Majlis ‘Memperkukuh Iltizam Memaju Negeri’ Penjawat Awam bersama Menteri Besar, di sini, semalam.

Majlis peluncuran buku ‘Membangun Bangsa’ hasil karyanya sempena sambutan dua tahun sebagai Menteri Besar turut diadakan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman; barisan Exco Kerajaan Negeri dan ADN.

Dalam kontek Asia Tenggara, beliau berkata, sentiasa berlaku perubahan dengan banyak pemain baru muncul melalui penggabungan pasaran perniagaan serta menjalankan urusan mereka merentasi sempadan dalam sekelip mata.

Selangor-maju-1“Antara perkara lain, Komuniti Ekonomi Asean (Asean Economic Community) menuntut Selangor untuk menyahut cabaran global supaya hubungan perdagangan dapat menjamin pertumbuhan dan kemakmuran masyarakat Asean termasuk Selangor,” katanya.

Di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri, pelbagai kemajuan diraih termasuk pencapaian ekonomi membanggakan dengan terbaru iaitu kewangan disatukan Kerajaan Negeri mencecah RM3.603 bilion pada 31 Ogos lalu.

Ia mengatasi pencapaian dengan catatan RM3.258 bilion pada tahun lalu.

-NFN-