Categories
SELANGOR

PANTAS siap sedia hadapi sebarang kemungkinan banjir

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 SEPT: Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS) bersiap sedia dengan misi bantuan kepada pihak ditimpa musibah dalam musim bencana seperti banjir yang sering berlaku pada penghujung tahun.

Pengerusinya, Hamsah Djabir, berkata bagi menjayakan perancangan, pihaknya bersedia dari awal tahun ini selain memohon bantuan serta sumbangan daripada pihak berkaitan.

“Persediaan ini penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku bencana seperti banjir di Selangor atau tempat lain.

“Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita mendapat kerjasama sama baik dari Kerajaan Negeri dan anak syarikatnya serta pihak tertentu yang menghulurkan pelbagai sumbangan dan barangan keperluan,” katanya kepada SelangorKini, di sini.

Beliau berkata, setakat ini PANTAS menerima sumbangan kira-kira RM20,000 daripada beberapa anak syarikat Kerajaan Negeri selain barangan antaranya pakaian, selimut, toto dan sebagainya.

en hamzah pengerusi pantasKatanya, PANTAS akan terus berusaha bagi mendapat bantuan diperlukan kerana sumber diperoleh kini masih belum mencukupi.

“Kita masih menunggu sumbangan tambahan daripada beberapa pihak lagi dan berharap mendapat respon baik seperti mana sebelumnya.

“PANTAS juga mengalu-alukan bantuan daripada orang ramai,” katanya.

Hamsah berkata, biarpun kadang kala menghadapi kekangan dari segi peruntukan dan sumber tertentu tetapi usaha dilaksanakan PANTAS bersama pihak berkaitan akan dilakukan sebaik mungkin.

Selain membantu mangsa ditimpa pelbagai musibah di Selangor, PANTAS pernah terbabit dalam beberapa misi bantuan di luar negeri itu antaranya membantu mangsa banjir besar di Kelantan pada akhir 2014.

Pihak berminat menghulurkan sumbangan kepada PANTAS boleh menghubungi Teoh (016-2677737) atau Haslan (016-3576010) atau berhubung terus dengan urusetia di G2 & 3A, Jalan Kolam Ayer Lama, Ampang Jaya, 68000 Ampang, Selangor (03-42511317).

Orang ramai juga boleh mendapat maklumat dan menghubungi pertubuhan itu melalui Facebook: Pantas Selangor.

EZY