Categories
SELANGOR

PAS Selangor sambut baik tiada pilihan raya mengejut

OLEH AFIX REDZUAN

BANTING, 20 SEPT: PAS Selangor menyambut baik kenyataan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Kerajaan Negeri tidak perlu dibubarkan awal bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata ia keputusan yang baik kerana mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu jelas untuk PAKATAN menerajui pentadbiran negeri.

“Mandat daripada rakyat cukup jelas kepada kerajaan yang dipilih, ketiga-tiga parti ketika itu adalah untuk lima tahun.

“Yang penting adalah pendirian Kerajaan Negeri bahkan (Dato’) Menteri Besar pun sudah membuat kenyataan bahawa tidak perlu (diadakan Pilihan Raya mengejut), saya ingat itu keputusan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan supaya Selangor mengadakan pilihan raya negeri lebih awal.

Yunus berpendapat, blok pembangkang di Selangor perlu menyelesaikan dahulu kemelut formula satu lawan satu bagi menghadapi Umno Barisan Nasional (BN) sebelum bertindak mengadakan pilihan raya mengejut.

“Yang penting adalah bagaimana formula satu lawan satu yakni blok pembangkang lawan blok Umno BN boleh berlaku. Itu peluang yang terbaik untuk kita bertanding dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Semalam, Mohamed Azmin berkata tiada keperluan untuk Kerajaan Negeri itu mengadakan pilihan raya lebih awal.

Katanya, mandat diberikan untuk mentadbir Selangor tidak boleh dikhianati sewenang-wenangnya.

EZY