Categories
SELANGOR

Penduduk anggap fenomena air laut pasang besar terburuk sejak 1952

OLEH NORHAYATI UMOR

KAPAR, 21 SEPT: Penduduk di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, menyifatkan kejadian banjir akibat fenomena air laut pasang besar yang bermula awal pagi Ahad lalu adalah yang terburuk setakat ini.

Ketua Kampung, Hihailani Surit, 69, berkata banjir kali ini merupakan banjir kedua berlaku selepas  1952.

Katanya, rata-rata penduduk tidak menyangka banjir seperti itu berlaku kembali di kampung mereka.

“Banjir ini kali kedua berlaku. Kali pertama berlaku pada tahun 1952, bagaimanapun kali ini tidak teruk seperti dahulu. Air laut naik tinggi melepasi ban.

“Rata-rata penduduk terkejut kerana banjir berlaku awal pagi dan begitu cepat naik ke rumah,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Hihailani mahu semua penduduk kampung berwaspada dengan kejadikan seperti itu yang berkemungkinan akan berlaku lagi selepas ini.

Bagi Azizah Jumeri, 52, pula berkata kejadian banjir itu membuatkan beliau sekeluarga panik selepas terjaga dari tidur.

Katanya, mereka mula menyedari air naik ke rumah kira-kira jam 7 pagi, Ahad.

banjir12“Kami sekeluarga baru sampai dari Terengganu lewat malam itu, kerana terlalu penat kami tidak sedar air sudah masuk dalam rumah separas betis.

“Adir ipar saya dengan pantas mengejutkan semua ahli keluarga kerana air terlalu deras. Kami tidak menyangka berlaku banjir kerana untuk saya ini kali pertama berlaku selepas saya pindah ke sini kira-kira 10 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata banyak kelengkapan rumah tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata kesemua mangsa 152 orang dari 34 keluarga dibenarkan pulang petang ini.

Katanya, ia selepas tinjauan bomba ke lokasi pagi tadi dan pandangan ahli mesyuarat serta persetujuan Pegawai Daerah untuk menutup operasi.

“Mangsa akan dibenarkan pulang petang ini dan operasi ditutup jam 12 tengah hari,” katanya.

EZY