Categories
SELANGOR

Proses pemulihan bekalan air di empat daerah, hari ini

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 SEPT: Gangguan bekalan air sementara di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang kini dalam proses pemulihan dan dijangka berakhir secara berperingkat, hari ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, keadaan yang dialami di empat daerah itu disebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih akibat pencemaran air mentah pada jam 6 petang semalam.

“Loji rawatan sudah kembali beroperasi, namun bekalan air di kawasan terbabit dijangka pulih secara berperingkat bermula awal pagi ini.

SYABAS potong air haram (ASRI) (2)“Paras air di empat kawasan itu sedang dipantau dengan rapi, manakala lori tangki berisi bekalan bantuan tsudah dihantar ke sana sehingga paras air di semua kolam takungan stabil,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara kawasan di Hulu Langat yang terbabit ialah Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Rinching, manakala bagi Kuala Langat pula ialah Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima Garang.

“Daerah Petaling pula membabitkan kawasan USJ 1 hingga 27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang.

“Bagi Sepang ialah Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong dan Sungai Merab,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kawasan berkaitan melalui aplikasi telefon bimbit pintar mySYABAS dan laman sesawang www.syabas.com.my.

-NFN-