Categories
NASIONAL

SPR didakwa belakangi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 20 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa membelakangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam membuat cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negara ini.

Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, keputusan dibuat SPR berkenaan perkara itu dilihat tidak mematuhi peraturan ditetapkan jawatankuasa terbabit yang ditubuhkan bagi penambahbaikan proses pilihan raya.

Katanya, penubuhan jawatankuasa pada 2012 dipengerusikan Datuk Dr Maximuss Ongkili itu dipersetujui kerajaan dan pembangkang.

“Kita melihat apa dibuat SPR melanggar keputusan dicapai Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang ditubuhkan di Dewan Rakyat.

“Jawatankuasa ini sudah mengadakan perbincangan dan membuat beberapa cadangan bagi tujuan itu tetapi sekarang kita lihat SPR bukan sahaja tidak mematuhinya, malahan melanggar peraturan juga pada pandangan kita satu penghinaan terhadap Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika ini bukan sahaja parti di dalam Pakatan Harapan (Pakatan) tidak bersetuju dan membantah cadangan SPR tetapi parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan Gerakan juga menyatakan pandangan sama.

“Maka, kita minta supaya cadangan SPR ini ditarik balik dan merujuk kembali syor dibuat jawatankuasa berkenaan,” katanya.

-AA-