Categories
SELANGOR SUKANKINI

Ziyad teruja sambutan luar biasa rakyat Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 23 SEPT: Pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 Muhammad Ziyad Zolkefli gembira dengan sambutan dan sokongan yang diberikan rakyat Malaysia setibanya beliau bersama kontinjen di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Tanpa berselindung, beliau terharu dengan kejayaan di Rio yang nyata merubah sedikit sebanyak kehidupannya walaupun pernah memenangi pingat gangsa di London, pada 2012.

“Dahulu, saya menang pingat gangsa tetapi tidak semeriah ini sambutannya. Ramai wartawan dan orang ramai yang mahu bergambar dengan saya. Satu penghormatan yang sangat luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Majlis Menyambut Kepulangan Atlet Paralimpik Rio 2016.

img_20160922_172756_109Katanya, kejayaan merangkul emas sangat membanggakan baginya tambahan beliau sudah berusaha gigih sejak awal tahun demi mencapai matlamat itu.

“Saya memang gigih berusaha, banyak yang saya korbankan. Saya korbankan diri untuk Paralimpik dari Januari hingga September lalu dengan gigih berusaha.

“Harapan saya ke sana mahu mencuba yang terbaik. Balingan kelima saya yang membanggakan dan memecahkan rekod dunia kali kedua

“Itu adalah satu yang luar biasa buat rakyat Malaysia yang menyokong saya,” katanya.

Menyentuh soal insentif, Muhammad Ziyad berkata, beliau masih belum memikirkan sebarang perancangan dan hanya mahu menikmati cuti yang diberikan selama dua minggu.

Dalam temasya Paralimpik Rio, Muhammad Ziyad mencipta rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak lontaran 16.84m untuk pingat emas kedua negara.

Sebelum itu, beliau turut berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Paralimpik 2012 di London.

-NFN-