Categories
SELANGOR

Umno BN masih gagal namakan Ketua Pembangkang DNS – Speaker

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 24 SEPT: Tiada perkembangan positif berhubung saranan Dewan Negeri Selangor (DNS) agar barisan pembangkang menamakan Ketua Pembangkang DNS sebelum Dewan bersidang.

Speaker Dewan, Hannah Yeoh Tseow Suan, berkata kegagalan Umno Barisan Nasional menamakan nama untuk jawatan itu membuktikan kelemahan amalan demokrasi Umno-BN mengangkat prinsip bersuara di dalam Dewan.

“Masih tidak Ketua Pembangkang di Selangor. Umno masih belum menamakan mana-mana individu daripada parti itu untuk diangkat sebagai Ketua Pembangkang di DNS,” katanya kepada SelangorKini di Perumahan Indah Court di sini, hari ini.

Kegagalan itu sekali gus menimbulkan persoalan berhubung komitmen Ahli Dewan Negeri (ADN) daripada Barisan Nasional membawa suara rakyat diwakili mereka.

Sebelum ini, Umno menamakan Datuk Mohd Shamsudin Lias sebagai Ketua Pembangkang DNS, sebelum melepaskan jawatan kononnya atas prinsip integriti.

Susulan itu, Barisan Nasional negeri disaran menyemak semula keputusan tersebut walaupun memutuskan untuk memilih Mat Nadzari Ahmad Dahlan iaitu ADN Batang Kali sebagai Penyelaras Adun BN.

Bagaimanapun Hannah, berkata keperluan untuk jawatan tersebut tidak diiktiraf DUN di kawasan itu.

“Dalam DNS, memang tidak diiktiraf jawatan penyelaras Adun kerana hanya jawatan rasmi iaitu jawatan Ketua Pembangkang saja diambil kira untuk terima semua keperluan serta elaun yang kita sediakan.

“Selain itu, hanya ketua pembangkang saja yang diberi keutamaan untuk menjadi pembahas terawal dalam perbahasan belanjawan negeri dalam sidang DNS nanti,” katanya.

Dalam perkembangan itu, pihaknya juga telah menghantar dua surat rasmi kepada pimpinan BN Selangor untuk melantik Ketua Pembangkang untuk memantau pentadbiran DNS.

EZY