Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

11 pam bergerak & 4,000 beg pasir hadapi air pasang besar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 18 OKT: Kerajaan Negeri mengambil segala langkah mengelakkan berlakunya banjir di Kampung Batu Empat ekoran fenomena air laut pasang besar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata antara langkah terbabit termasuklah menyediakan 4,000 beg guni pasir dan sembilan pam bergerak yang digunakan untuk mengepam air di lokasi memerlukan.

“JPS Selangor juga menyediakan 11 pam bergerak dan sedia digerakkan pada musim tengkujuh dan sembilan pam sudah dipasang di Sabak Bernam dan Klang semasa berlakunya air pasang besar kali ini.

“Ban yang pecah ini sebenarnya berlaku sejauh 40 meter sahaja kerana tidak ada penahan kayu bakau dan menyebabkan air tertumpu di laluan itu sahaja dan menyebabkan pecah dan kerja sedang dilakukan.

8“JPS beri jaminan sebelum berlaku air pasang besar sekali lagi pada jam 6.00 pagi nanti kita menjangkakan kerja selesai termasuk kerja meletakkan 4,000 beg pasir untuk meninggikan ban tersebut dan kita harap dapat menghalang air masuk melimpah ke kampung,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika meninjau di lokasi ban pecah berhampiran jeti Sungai Keramat, Kampung Batu Empat di sini, petang semalam.

Jelasnya, Kerajaan Negeri sebelum ini sudah memberikan notis awal kepada penduduk di sekitar kawasan berisiko supaya berpindah di pusat pemindahan yang disediakan.

Ketika mengulas kejadian ban pecah, Mohamed Azmin memberitahu ban terbabit tidak termasuk dalam senarai peruntukan RM4.3 juta bagi projek menaiktaraf ban di seluruh Selangor.

Bagaimanapun peruntukan menaiktaraf ban terbabit termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-11 dengan peruntukan berjumlah RM3 juta termasuk peruntukan menaiktaraf ban di pengkalan nelayan Rantau Panjang, Kampung Tok Muda dan Sungai Janggut.

EZY