Categories
SELANGOR

MB: Rakyat ditimpa bencana tapi ada pihak lempar tohmahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 18 OKT: Ketika Kerajaan Negeri gigih memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko mengalami banjir akibat fenomena air laut pasang besar, terdapat segelintir pihak melemparkan tohmahan tidak berasas.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab itu berkata Kerajaan Negeri melakukan persiapan awal bagi menghadapi fenomena kali ini.

“Kita cuba elakkan perkara ini berlaku. Bukan sahaja kita beri peruntukan tambahan RM4.3 juta tetapi kerja juga sudah bermula tetapi tak mungkin kita boleh selenggara ban ini dalam tempoh sehari kerana kita mahu ban ini dibuat baik mengikut perincian teknikal supaya ban itu kukuh dan kuat.

img_20161017_195106_243“Ia supaya tidak berulang ban pecah tetapi kalau kita lihat dalam media yang dilaporkan tidak ada tindakan, saya tak turun padang, saya tak faham masalah rakyat.

“Di kampung ini sahaja pun dah dua kali saya turun. Sebentar tadi saya di Kampung Sungai Keramat sahaja hampir satu jam lebih saya bersama penduduk kampung kerana ini bukan keistimewaan tetapi tanggungjawab saya untuk menjaga kepentingan rakyat,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya di hadapan 53 keluarga Kampung Tok Muda yang berada di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda di sini, semalam.

Bagaimanapun berbeza dengan tohmahan dilemparkan, mangsa banjir itemui SelangorKini baru-baru ini memuji langkah Kerajaan Negeri yang bukan sahaja memberikan kelulusan segera peruntukan menaiktaraf malah bertindak awal dalam menghadapi air laut pasang besar fasa kedua ini.

Menurut mangsa, langkah awal yang diambil Kerajaan Negeri dalam membuat persiapan menghadapi fenomena ini membolehkan mereka berpindah lebih awal dan mampu mengurangkan kerugian harta benda.

“Awal-awal lagi kami dah dimaklumkan. Jadi kami dapat bersiap sedia sebelum berpindah barang-barang sudah diletakkan di tempat tinggi supaya tidak rosak.

“Nak pindah ke pusat pemindahan ini juga tidak kelam-kabut dan segalanya sudah disediakan Kerajaan Negeri dengan keperluan seperti makanan, tempat tidur yang selesa dan sebagainya,” kata penduduk Kampung Tok Muda, Ahmad Azahari Soraji,45.

Abdul Kahar Saroji, 49 pula memuji kepekaan Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi yang mengambil berat terhadap mangsa banjir di sini.

“Sejak kami dilanda banjir banyak kali YB (Yang Berhormat) kami turun bertemu kami untuk membantu memudahkan pemindahan mangsa ke sini,” kata peniaga terbabit.

Apabila ditanya nilai kerugiannya Abdul Kahar menjangkakan nilai kerugian yang ditanggung adalah jauh lebih rendah berbanding sebelumnya ekoran persiapan awal yang dibuat.

“Saya belum tengok lagi keadaan rumah saya pagi ini tetapi saya jangkakan tak teruk macam dahulu sebab kami dah diberitahu awal, jadi kebanyakkan barang dah diletakkan ditempat tinggi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Khariah Azlina Khairuddin, 21 pula mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memastikan keselesaan mangsa banjir.

“Alhamdulillah kami disediakan tempat yang selesa cukup dengan kemudahan. Malam tadi pun saya dapat tidur dengan nyenyak sekali,” kata kakitangan swasta itu.

EZY